Make your own free website on Tripod.com

This article was published in Wadah Wanita Islam, Berita Harian, Wednesday 8th January 2003 - Siti Zaiton Abdul Aziz

Home  


Didik Anak Tanggungjawab Suami Isteri

INSTITUSI sekolah diwujudkan untuk membina generasi yang tinggi ilmu dan budinya serta cemerlang keperibadiannya dan bebas daripada sebarang bentuk perhambaan selain daripada Allah.

Oleh itu, tugas dan usaha mulia guru dan pendidik dalam membentuk keperibadian anak-anak perlu disokong dan dibantu sepenuhnya. Semua umat yang cintakan Islam, tanpa mengira mempunyai anak yang belajar atau tidak, perlu melihat usaha ini sebagai salah satu jihad fi sabilillah.

Mereka dialu-alukan memberikan cadangan, sumbangan, kepakaran dan idea untuk memajukan institusi ini demi kemaslahatan dan memartabatkan umat Islam.

Cita-cita dan harapan sebegini besar dan mulia tentu menuntut pelbagai pengorbanan dari pelbagai pihak. Menginsafi hakikat ini, sekolah tidak mungkin mampu membina generasi unggul ini bersendirian.

Sekolah adalah tempat anak-anak menerima pendidikan secara sistematik dan formal. Di sekolah juga anak-anak diberi peluang untuk memperkembangkan bakat dan potensi mereka.

Di sekolah, proses pembentukan peribadi, pemindahan ilmu dan kemahiran terletak pada bahu guru.

Suasana dan persekitaran di sekolah bertanggungjawab sepenuhnya mengadun dan mencorakkan bentuk pelajar yang ingin dibina.

Namun, apabila mereka ini pulang ke rumah, ibu bapa perlu mengambil alih tugas ini. Ilmu, nilai, sikap dan amalan mestilah selari dan konsisten dengan apa yang diterap oleh sekolah. Malah tugas ini menjadi lebih kritikal kerana manusia lazimnya lebih banyak terpengaruh dengan pendidikan informal berbanding pendidikan formal, khususnya dalam aspek pembentukan peribadi dan akhlak.

Pendidikan informal ini sebenarnya lebih berkesan dan mudah diikuti oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu menyedari hakikat ini dan berusaha untuk memastikan suasana di rumah menyokong apa yang dipelajari oleh anak-anak di sekolah.

Sikap memadai dengan apa yang anak-anak dapati di sekolah, hanya akan mengecewakan ibu bapa. Ibu bapa perlu mengiktiraf diri mereka adalah guru pertama bagi anak-anak. Segala nilai, pertuturan dan tingkah laku mereka, banyak mempengaruhi anak-anak. Kefahaman bahawa, cukuplah sekolah berfungsi untuk membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang adalah tidak tepat.

Semangat yang perlu ada dalam jiwa ibu bapa ialah mereka secara automatik adalah rakan kongsi kepada sekolah. Natijahnya ialah ibu bapa merasakan sekolah ini sebahagian daripada milik mereka, ada semangat kekitaan.

Setiap kelemahan dan kekurangan dalam apa juga aspek dalam pendidikan di sekolah perlu dilihat sebagai masalah bersama. Apa saja yang perlu diperbaiki, dibantu dan ditingkatkan perlu dilakukan dengan semangat muafakat di antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Satu lagi pihak yang tidak kurang penting adalah institusi masjid. Anak-anak perlu dibiasakan bergaul dengan masyarakat masjid yang berhampiran dengan rumah mereka. Ini kerana, jika anak-anak tidak berada di sekolah atau di rumah, tugas membentuk mereka adalah jatuh kepada masyarakat masjid.

Tanggapan sesetengah orang bahawa tidak perlu menjaga hal ehwal anak orang lain adalah satu kesilapan yang besar. Sebagai anggota masyarakat yang lebih dewasa dan matang, mereka perlu mengajak, menghargai, memimpin dan menegur di mana yang perlu setiap perbuatan anak-anak di sekeliling mereka. Sikap tidak peduli dan tidak endah akan perbuatan anak-anak perlu ditukar kepada sikap penyayang, prihatin dan hormat kepada mereka. Inilah sikap yang ditunjukkan oleh junjungan kita Rasulullah terhadap anak-anak.

Ibu bapa yang menaruh kepercayaan kepada sekolah untuk mendidik dan membentuk anak mereka perlu memiliki beberapa komitmen. Ini untuk memudahkan proses pendidikan dan pentarbiahan yang perlu dilakukan. Di antaranya ialah:

1-Membenarkan anak-anak menghadiri setiap program yang dimestikan anak-anak hadir (kecuali diberi pilihan).
2-Menghadiri setiap program yang dianjurkan oleh sekolah untuk ibu bapa.
3-Menghindari amalan menjatuhkan kewibawaan guru depan anak-anak. Sebaliknya berbincang dengan sekolah jika ada perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh guru.
4-Menerima pendekatan dan kaedah yang digunakan oleh sekolah dalam membentuk dan mendisiplinkan anak-anak.
5-Menanamkan sikap menghormati dan mentaati guru untuk mendapatkan keberkatan.

PENULIS adalah seorang guru besar sekolah swasta. Sebarang maklum balas sila hubungi wadah_wjy2k@yahoo.com

Wallahu'allam.
Siti Zaiton Abdul Aziz
8 January 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.