Make your own free website on Tripod.com

This article was published in Wadah Wanita Islam, Berita Harian, Wednesday 6 August 2003 - Sabariah Abdul Razak

Home  


Pengasuhan Bijak Mula Ketika Anak Masih Kecil

AFIFAH sering menangis apabila bercerita mengenai kedegilan anak remajanya yang berumur 15 tahun.

“Cikgu, saya bingung dengan perangai degil dan tabiat melawan anak saya,” katanya mengadu kepada jiran yang juga seorang guru. “Fifah, awak jangan berputus asa, apa yang perlu awak lakukan ialah sentiasa mendampingi anak awak dan cuba fahami serta ikuti perkembangan dirinya.

“Jangan biarkan dia terkapai-kapai. Menangisi nasib tidak akan membawa awak ke mana-mana. Cuba buat refleksi diri dan berdoalah kepada Allah kerana benih yang baik jika dibuang ke lautan menjadi pulau,” nasihat jirannya.

Perbualan kedua-dua wanita itu mengingatkan kita bahawa kadangkala kita lupa anak melambangkan diri kita. Kita juga acap kali terlupa dalam mengasuh mereka ada faktor ketiga yang perlu diambil kira, anak kita, kita dan keajaiban Allah serta kekuasaan-Nya.

Fitrah kejadian manusia yang juga makhluk paling mulia dan sempurna di sisi Allah adalah sebaik-baik kejadian di bumi. Manusia dikurniakan akal, perasaan, cita dan anggota yang lengkap.

Kelahiran anak membawa kebahagiaan kepada pasangan terutama yang baru berkahwin. Bagaimanapun ramai ibu bapa yang tidak membuat persediaan rapi, mereka melihat dan menerima kejadian Allah serta keagungan penciptaan ini dengan bersikap zuhud dan tawaduk, tanpa berusaha menilai dan menghayatinya. Mereka menganggap kelahiran sesuatu yang rutin dan biasa dalam alam berumah tangga.

Persediaan utama yang perlu ialah ilmu kemanusiaan kerana setiap perkembangan keperibadian manusia berhubung rapat dengan pengasuhan berterusan sejak lahir hingga dewasa.

Pengasuhan bijak adalah berlandaskan penerapan ajaran agama dan nilai murni, bakal melahirkan generasi yang berfikiran positif.

Justeru, wujud kumpulan umat yang berperibadi mulia dan mengamalkan sikap yang berasaskan ciri keimanan dalam kehidupan.

Pengasuhan bijak adalah ilham dalam usaha ibu bapa memfokus kepada sikap reda, tawakal, sabar dan syukur di samping usaha serta azam yang kuat. Setiap ibu bapa perlu memberi kebebasan kepada anak membangunkan potensi di samping mewujudkan perasaan bahawa anda sentiasa memberi perhatian kepada setiap pengalaman mereka. Kebebasan yang diberi perlu diawasi dan ditangani dengan bijak

Keunikan dan bakat kanak-kanak perlu dihargai dan diwarnai dengan pujian, harapan dan panduan supaya dapat menyemai sikap positif dan merasai nikmat berusaha sendiri.

Mereka berkeyakinan dalam melakukan sesuatu dengan lebih baik tanpa perasaan rendah diri dan kecewa.

Penilaian yang diberi kepada anak perlu secara individu dengan menghormati kefahaman mereka. Berilah peluang kepada mereka meraih kejayaan sendiri dan memperbetulkan kesalahan. Sebagai ibu bapa yang berilmu dan berpengalaman, beri panduan dan batas pada setiap perbuatan dan tingkah laku mereka serta nasihat berasaskan keimanan serta kefahaman Islam dalam membimbing mereka membuat keputusan positif.

Jangan menunjukkan kekecewaan terhadap segala kelakuan dan kegagalan mereka sebaliknya suntiklah semangat membina dan bangkit semula supaya mereka tidak mudah berputus asa.

Ibu bapa perlu bijak dan kreatif dalam mewujudkan rutin harian mengikut kesesuaian keperluan setiap individu, di samping mengutamakan kebersihan dan disiplin yang tinggi bagi menggalak sikap kendiri di jiwa kanak-kanak.

Tanamkan amalan berilmu, beriman dan beramal supaya mereka berasakan dirinya memikul tanggungjawab dan bebas daripada pengaruh keduniaan kerana sentiasa berserah dan bertawakal kepada Allah.

Pada zaman serba mencabar ini, ibu bapa banyak menghabiskan masa untuk memenuhi keperluan lahiriah sehingga lupa keperluan jiwa dan rohani. Pegangan yang rapuh tanpa asas yang kuat dan logik boleh menjerumuskan perhatian anak ke arah yang negatif.

Justeru, bina asas kukuh untuk mereka bertapak, latih mereka bersikap jujur dan amanah, wujudkan hubungan mesra antara anggota keluarga, penuhi jasad dan roh mereka dengan kasih sayang sehingga mereka tidak sangsi dalam memilih jalan yang diredai.

Pendidikan kerohanian menjadi benteng asas yang amat sempurna dan kuat berteras kepercayaan kepada Allah, mengagungkan Allah dan memikirkan ciptaan Allah.

Beruntunglah ibu bapa yang berpeluang mendidik dan mengasuh anak dengan skop pendidikan rohani kerana dapat menjamin ketakwaan setiap insan.

Setiap ibu bapa ingin melahirkan anak soleh dan bertakwa kerana itulah sebaik-baik harta peninggalan. Jiwa dan rohani yang bersih sentiasa diselaputi ketenangan dan keimanan dalam mengharungi kehidupan penuh cabaran.

Bagi keberkesanan pengasuhan yang bijak dan efektif, komunikasi yang berhemah dan beradab harus dilatih sejak kecil. Perkembangan literasi bahasa yang sopan diselaraskan dengan komunikasi yang positif dan bermartabat dapat membantu kanak-kanak membina sikap dan tingkah laku yang berhemah tinggi. Waktu makan dan beriadah adalah waktu yang paling sesuai untuk berinteraksi dengan mesra.

Hargailah dan wujudkan masa yang berkualiti untuk anak anda serta pastikan mereka gembira dan sentiasa selamat kerana anda adalah ibu bapa mereka.

Setiap manusia berpeluang menjadi insan yang baik. Ibu bapa hendaklah menghargai amanah yang diberikan. Jalankan tanggungjawab sebaik mungkin berpandukan al-Quran dan sunnah. Anak akan mewarisi sementara dunia sejagat, dengan itu didik, semaikan, berdoa dan jadikanlah anak anda insan beriman serta bertakwa demi menjamin kesempurnaan dan kekuatan umat Islam pada masa akan datang. Dalam doa itu, terus berzikir, beristighfar, bertafakur dan bermunajat.

Penulis seorang pengusaha Tadika Islam dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com

Wallahu'allam.
Sabariah Abdul Razak
6 August 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.