This article was forwarded to Berita Harian in January 2003 but until today the editor has not published it. InsyaAllah it will appear in Harakah - MS Ismail, Kelantan

Home  


SEKOLAH AGAMA - BENTENG AKIDAH UMMAH DAN INSTITUSI STRATEGIK UNTUK MASA DEPAN

Pendahuluan

Pandangan yang berlainan yang dikemukakan untuk maksud perkongsian yang boleh menjanakan idea dan tindakan yang lebih mantap adalah sesuatu yang menyihatkan. Orang yang sihat ialah orang yang menghadapi hidup ini serta cabarannya secara yang positif. Sebab itulah, kita wajar menggalakkan rakyat memberi pandangan mereka secara objektif dalam suasana yang terbuka dan berlapang dada - jauh daripada sentimen jangka pendek yang membawa kepada sama ada sindrom menolak atau mengangguk secara membuta tuli. Kedua-duanya tidak menguntungkan kita dan generasi yang akan kita bangunkan.

Atas asas inilah, pada hemat saya, kerajaan perlu meneliti pandangan berbagai pihak yang terlibat dalam sektor pendidikan khususnya pendidikan Islam dan sekolah agama sebelum membuat keputusan yang melibatkan kepentingan dan masa depan sekolah agama.

Saya menggunakan istilah sekolah agama dan bukan sekolah agama rakyat kerana penarikan balik bantuan perkapita kini tidak terhad kepada sekolah agama rakyat (yang dibangunkan oleh rakyat dan mempunyai lembaga pentadbir sendiri seperti yang terdapat di beberapa negeri) tetapi juga sekolah kerajaan negeri yang ditadbir oleh agensi kerajaan negeri.

Perkara ini kini melibatkan semua sekolah agama sama ada yang berada di bawah pentadbiran negeri atau sekolah agama yang diwujudkan oleh rakyat - asalkan yang mendapat peruntukan daripada kerajaan Persekutuan Malaysia.

Menurut kenyataan Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan, para pelajar sekolah agama perlu diserapkan ke sekolah kebangsaan kerana kualiti pendidikan sekolah agama yang rendah. Kolumnis Nakhaie Ahmad berpendapat "hanya satu pilihan untuk kerajaan bagi menyelamatkan sekolah agama rakyat (SAR) - iaitu sekolah ini diserahkan kepada kerajaan persekutuan. Jika tidak, biarkan SAR bergerak sendiri tanpa bantuan kerajaan". (Berita Harian, 2 Januari 2003). Ironi sekali, mengapa tidak ada pilihan ketiga?

Di sinilah sebenarnya masalah kita. Kita sering berpendapat bahawa hanya ada satu cara sahaja untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kita tidak membuka diri untuk melihat opsyen-opsyen yang lain. Saya yakin, jika para penggerak utama sektor pendidikan kebangsaan dan agama seperti pentadbir pendidikan, pengetua dan guru besar, ahli akademik, penjawat awam dan pengkaji sosial di bawa berbincang secara yang terancang, pasti kita dapat menghasilkan banyak opsyen yang lebih berkesan dan strategik demi menjaga kepentingan rakyat dan kerajaan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

Persoalan meneruskan atau tidak bantuan perkapita dan bantuan buku teks kepada sekolah agama, kelihatan seolah-olah isu kecil, tetapi kita mungkin tidak menyangka ataukah sudah diduga, isu ini bermungkinan berakhir dengan penutupan sekolah agama secara perlahan-lahan. Begitu senang, sedangkan bangsa Melayu yang beragama Islam mempunyai kepentingan yang besar di dalam institusi ini sejak zaman berzaman.

Bangsa Melayu telah melihat betapa sekolah agama sebagai institusi masyarakat Islam telah berperanan dengan berkesan merangsang ilmu dan amal di kalangan rakyat dan seterusnya menjadi benteng akidah ummah sepanjang sejarah moden bangsa Melayu. Oleh sebab itu, keputusan berkaitan dengan kelangsungan sekolah agama adalah satu keputusan kritikal dan generik untuk bangsa Melayu. Ia akan mengesani generasi berdekad dan berkurun lamanya. Sebab itulah, wajar sekali semua pihak bersikap amanah, bertanggungjawab dan rasional dalam mengambil keputusan ini dengan meletakkan kepentingan pendidikan bangsa, generasi dan negara mengatasi kepentingan yang lain.

Pada fikiran saya, penarikan bantuan perkapita dan pelawaan untuk menyerapkan pelajar sekolah agama ke sekolah kebangsaan adalah tindakan yang tergesa-gesa dan bersifat reaktif. Dalam keadaan tergesa-gesa itu, tindakan kita tidak didasarkan kepada kajian dan penilaian yang lebih objektif terhadap falsafah, pencapaian dan masalah dalam kedua-dua sistem yang ada.

Umumnya, kita sudah mengetahui falsafah pendidikan kebangsaan. Ia bersifat seragam, bertulis dan pengoperasiannya merentasi seluruh negara. Bagi sekolah agama pula, oleh kerana struktur organisasi serta bidang kuasanya adalah pada peringkat negeri dan tempatan, falsafahnya yang bertulis sudah tentu berbeza-beza dan tidak seragam.

Namun, secara umum, falsafah sekolah agama tidak lari daripada idea pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina insan yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membentuk kehidupan diri sendiri, masyarakat dan negara sebagaimana yang dituntut oleh al-Quran dan as-Sunnah. Walaupun menghadapi banyak kekangan kewangan, sekolah agama ini turut meletakkan objektif untuk mewujudkan sistem pendidikannya yang seimbang, bersepadu, menyeluruh dan berterusan bagi sekolah mereka.

Walau bagaimanapun, tidak semua hasrat mereka dapat dicapai kerana beberapa kekangan terutama sumber dana. Namun, dalam sejarah, sekolah ini adalah punca kepada lahirnya ramai guru agama dan ulama yang menjadi sumber rujukan dalam ilmu Islam bagi masyarakat. Atau, jikapun mereka bekerja dalam berbagai bidang kerjaya, mereka menjadi pekerja yang membawa nilai hidup mulia dalam kerjaya mereka.

Keputusan Cemerlang di Sekolah Agama

Antara sebab yang diberikan untuk menyarankan penyerapan pelajar sekolah agama rakyat ke sekolah kebangsaan ialah kualiti pendidikan yang rendah di sekolah agama; kurangnya latihan dan kepakaran; insfrastruktur sekolah dan pembelajaran yang daif; dan, jaminan kerjaya yang tidak menentu. Kebimbangan yang lain adalah bolehkah sekolah agama menyiapkan anak-anak kita untuk menghadapi masa depan dan cabaran globalisasi serta zaman bioteknologi.

Pada pengamatan saya, asas kepada tindakan ini adalah agak simplistik. Premisnya mungkin betul di sesetengah keadaan tetapi aplikasi generiknya tidak tepat. Sementara terdapat banyak sekolah agama yang daif fizikalnya dan menghasilkan keputusan peperiksaan yang lemah, terdapat banyak juga sekolah agama yang cemerlang yang perlu disokong agar ia terus berjaya. Wajarkah kerana adanya sekolah-sekolah agama yang menghadapi masalah pembelajaran, sekolah agama yang lain pula yang menerima tekanan walaupun mereka cemerlang?

Sebagai contoh, bilangan pelajar sekolah agama di bawah pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang mendapat 9A dalam peperiksaan PMR tahun 2002 ialah 217 orang daripada 6017 calon. Sebaliknya, pelajar sekolah menengah kebangsaan yang mendapat 9A ialah 172 orang sedangkan calonnya ialah 34,912 orang. Peratus pelajar sekolah agama negeri yang mendapat 8A dan 7A ialah seramai 3.19% (192 orang) dan 3.04% (183 orang) berbanding sekolah menengah kebangsaan sebanyak 2.22% (776 orang) dan 0.089% (31 orang). Terdapat banyak hard facts seumpama ini yang boleh diutarakan oleh banyak sekolah agama peringkat negeri lain bagi membuktikan kecemerlangan akademik mereka.

Kepincangan Sekolah Kebangsaan

Pada masa yang sama, memberi mata yang terlalu tinggi kepada sekolah kebangsaan dalam keadaan ramai ibu bapa dan para pendidik sendiri kecewa dengan krisis moral para pelajar sekolah, bermakna kita menilai tanpa pertimbangan yang betul dan hilang sense of proportion. Di sesetengah tempat, sekolah-sekolah agama dan sekolah kebangsaan didirikan di tempat yang berdekatan. Ibu bapa dapat melihat sendiri perbezaan tingkah laku, perangai, budi pekerti, bahasa dan gejala yang dibawa oleh pelajar daripada kedua-dua aliran ini.

Prestasi sistem pendidikan kebangsaan dalam membantu mencapai wawasan pembangunan menurut acuan Malaysia pada saya, ternyata masih gagal. Yang dapat dibanggakan adalah kecemerlangan aspek kognitif dan mungkin kini kemahiran, tetapi dalam aspek pembentukan kerohanian, emosi dan sahsiah, kita melihat dengan jelas generasi ini memiliki kepincangan yang besar. Malahan kita melihat banyak petanda seolah-olah pendidikan kita tidak mampu mewariskan nilai-nilai hidup mulia yang selama ini kita pegang kepada generasi baru.

Paling terbaru, ramai ibu bapa terperanjat membaca kajian tentang gelagat sumbang di kalangan remaja yang dilaporkan oleh Berita Harian dan disiarkan pada 7 Januari 2003. Kaji selidik tersebut dibuat di sekitar Lembah Klang melibatkan 108 responden (62 remaja dan 46 dewasa) dan mendapati 12.9% daripada responden remaja berpendapat berpeluk dan bercium dengan pasangan di tempat tertutup tidak menggambarkan keruntuhan moral.

Tidakkah sifat malu untuk membuat perkara buruk adalah sebahagian daripada nilai budi bangsa Melayu? Tidakkah suasana pergaulan seperti inilah yang menjadi punca yang menggalakkan seks bebas yang membawa kepada penyebaran penyakit AIDS, petaka bagi abad ini? Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, 26% atau 2,334 daripada 9,044 pembawa HIV yang dikenalpasti di Malaysia adalah remaja berumur di antara 12 dan 25 tahun. Mereka ini mengamalkan gaya hidup bebas. (Berita Harian, 10 Februari 1995).

Perhatikan data-data seterusnya dan cuba kita selidiki punca kepada gejala buruk remaja sekolah ini: Statistik daripada Bahagian Perancangan Penyelidikan dan Pendidikan, Kementerian Pendidikan mengesahkan terdapat 1,875 buah sekolah di seluruh negara mengalami masalah disiplin dan 798 buah menghadapi masalah salahlaku. (Berita Harian, 9 November 1993) yang diungkap oleh Wan Liz Ozman (2000).

Sementara itu, pihak Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga pula dalam kajian mengenai kesihatan reproduktif dan seksualiti remaja (1994 - 1996) mendapati 24% daripada gadis yang sanggup melakukan hubungan seks tanpa bayaran atau dengan bayaran sebanyak RM10 dan dua butir pil khayal atau diajak makan di hotel adalah berumur antara 13 dan 18 tahun (Utusan Malaysia, 2 April 1997). Tidakkah remaja ini sepatutnya berada di sekolah ataukah mereka sudah tercicir daripada persekolahan?

Pihak Polis Diraja Malaysia juga mengumumkan data tahun 1994 hingga 1996 bahawa terdapat 7, 614 remaja atau 63.3% terlibat dengan semua kes jenayah termasuk membunuh. Dan, di kalangan remaja, remaja berumur antara 15 hingga 18 tahun adalah kumpulan paling ramai terbabit dalam kesalahan yang semakin meningkat sepanjang tiga tahun lalu (Utusan Malaysia, 26 Ogos 1997). Sekali lagi, paras umur di atas adalah umur pelajar peringkat sekolah menengah.

Kementerian Belia dan Sukan dan UPM membuat satu kajian pada tahun 1994 terhadap 5860 belia berumur antara 13 hingga 21 tahun yang melepak. Mereka mendapati 28% remaja mengatakan rakan sebaya mereka pernah mengadakan hubungan seks sebelum kahwin dan 40% pula menonton filem lucah, 28% berjudi dan 25% minum alkohol.

Kesemua fakta di atas menunjukkan bencana sosial yang membabitkan anak-anak kita yang kebanyakannya masih di sekolah atau sepatutnya di sekolah.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan lagi ialah pembabitan para pelajar sekolah kebangsaan dalam kes-kes jenayah, penyalahgunaan dadah, rogol, pergaduhan dan gangsterisme di sekolah adalah tinggi berbanding dengan pelajar sekolah agama. Laporan akhbar serta maklumat pihak polis dan guru disiplin sekolah sendiri adalah bukti kepada realiti ini.

Punca Keruntuhan Akhlak Pelajar Sekolah Kebangsaan

Antara penyumbang utama kepada masalah sosial di sekolah kebangsaan ialah penekanan terhadap disiplin agama yang sedikit. Jika pergaulan mereka lebih bebas sedangkan penekanan kepada penguasaan agama dan pembinaan roh adalah minimum dengan apakah lagi kita boleh mengawal mereka dengan berkesan?

Penemuan bahawa ramai pelajar pada hari ini tidak dapat membaca al-Quran termasuk yang sudah berada di tingkatan lima adalah hakikat yang memilukan. Ini kerana kita telah meletakkan komitmen yang besar kepada pendidikan negara dengan memberikan peruntukan yang utama kepadanya - namun masih ramai pelajar kita tidak boleh membaca (biarkan dulu menekuni maknanya) buku nombor satu agamanya sendiri!

Walaupun objektif 3M dalam sistem pendidikan kita sekarang tidak merujuk kepada kebolehan membaca al-Quran, menjadi sesuatu yang amat logik bagi setiap ibu bapa Muslim mahu melihat anaknya dapat membaca kitab al-Quran melalui sistem yang ada di samping usaha dan inisiatif ibu bapa.

Terdapat universiti awam di negara ini yang membuat ujian untuk mengetahui tahap bacaan al-Quran di kalangan para pelajar baru sempena minggu orientasi. Semasa menjadi tenaga akademik di universiti, saya bertanya para pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar tentang hasil ujian mereka. Mengejutkan, mereka mengatakan ramai pelajar kita tidak boleh membaca al-Quran dan ada yang tidak boleh melafazkan bacaan wajib dalam solat dengan baik meskipun mereka adalah pelajar cemerlang SPM.

Inilah double standard pendidikan yang amat kritikal dan merisaukan ramai ibu bapa Muslim. Bagaimanakah mereka akan terdorong untuk mendekati al-Quran - mereka sendiri tidak boleh membacanya!

Fakta-fakta di atas dikemukakan tanpa berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana masalah ini lebih wajar kita tangani bersama secara terbuka dan objektif. Kemungkinan bukan satu faktor sahaja yang menjadi penyebab tetapi terdapat berbagai faktor mungkin terlibat dan setiap faktor itu pula berkaitrapat dengan beberapa faktor lain pula. Inilah cabaran para penggerak pendidikan negara untuk kita sama-sama hadapi secara yang lebih telus daripada hanya mencari jalan untuk menutupnya atau hanya mempertahankan kesilapan kita semata-mata.

Kepopularan Sekolah Agama Terus Meningkat

Menyedari risiko terjebaknya anak-anak dalam keruntuhan akhlak dan menginsafi hakikat pendidikan bukanlah kecemerlangan akademik sahaja tetapi juga pembentukan peribadi yang mulia, ramai ibu bapa mengambil keputusan menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama. Lagi pun, orang yang akan dipertanggungjawabkan terhadap nasib anak-anak selagi mereka masih di alam persekolahan ialah ibu bapa mereka.

Saya dan isteri kini menghantar anak-anak kami ke sekolah agama walaupun kami adalah lulusan pendidikan Inggeris dari sekolah rendah hinggalah tamat belajar di luar negara. Anak-anak saya mengambil mata pelajaran sains dan matematik; dan dua daripada mereka benar-benar ingin menjadi doktor perubatan dan yang lainnya ahli sains. Kami juga dapati agak ramai pegawai pendidikan kerajaan malahan aktivis politik parti pemerintah tidak menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan sebaliknya ke sekolah agama ini. Saya tahu mereka memilih konsep pendidikan yang lebih menyeluruh dan seimbang dan tidak sanggup mengambil risiko kepincangan dalam pembentukan diri anak-anak, khususnya dalam pendidikan agama.

Pada hari ini, semakin banyak sekolah rendah Islam (SRI) yang didirikan oleh pihak swasta dan ibu bapa ramai menghantar anak mereka ke situ. Meskipun mereka terpaksa membayar yuran yang mahal dan membeli buku teks sendiri, mereka lebih yakin kepada model persekolahan rendah Islam ini. Di Kota Bharu sahaja, sekurang-kurang terdapat enam sekolah jenis ini.

Saya mengambil kesempatan untuk bertanya seorang guru besar di salah sebuah sekolah rendah Islam (SRI) di Kota Bharu. Menurut guru besar ini, salah satu pencapaian sekolahnya ialah semua pelajar (100%) yang tamat dari sekolah ini dapat membaca al-Quran. Tidak ada seorangpun pelajar yang tamat di sini sejak 10 tahun yang lalu yang tidak tahu membaca al-Quran. Sekolah ini mempunyai pelajar seramai 500 orang pada sesuatu masa. Tidakkah ini satu pencapaian yang besar dalam konteks pendidikan.

Dari segi akademik, murid-murid sekolah tersebut amat cemerlang. Penekanan terhadap agama menyebabkan sekolah ini tidak menghadapi banyak masalah disiplin dan salah laku pelajar. Lalu mereka boleh memberi tumpuan kepada pelajaran. Pada bulan November 2002 yang lalu, sekolah ini dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai salah sebuah sekolah cemerlang negara dalam UPSR 2002 kerana lebih 30% pelajarnya mendapat 5A! Pencapaian dalam subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris mereka juga hebat.

Sistem Pembelajaran Yang Menyeluruh and Seimbang

Jika kita berfikir secara yang lebih objektif banyak perkara yang boleh kita berkongsi khasnya dalam mencari model-model pengoperasian pendidikan yang baik dan selaras dengan cita-cita kita membangun negara yang sejahtera. Mungkin pihak Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Islam dapat mengkaji bagaimanakah pengoperasian model pendidikan Islam yang mereka lakukan sehingga mereka mencapai kecemerlangan dalam kedua-dua - agama dan akademik.

Kita semua ingin membina kekuatan bagi bangsa dan negara Malaysia. Tetapi sebenarnya, kekuatan sesuatu bangsa itu bukan hanya terletak kepada kekuatan dalam bidang pendidikan akademik, ekonomi, penguasaan ICT dan sains sahaja tetapi juga kesedaran, pengorbanan, semangat perjuangan dan keimanan yang tinggi. Di sinilah letaknya peranan pendidikan negara untuk membajai dan mewarisi nilai mulia turun-temurun ini kepada generasi baru.

Beberapa pakar dan tokoh pendidikan kita mengakui bahawa sistem pendidikan kita tidak memberatkan aspek kerohanian, moral dan kesedaran tetapi lebih berorientasikan penguasaan fakta dan daya ingatan.

Perihal pendidikan kita yang tidak mengembangkan perasaan kerohanian, kesedaran dan kesyukuran, disebut oleh tokoh pendidikan Prof Dr Awang Had Salleh (1994) . Menurut beliau, pendidikan kita berorientasikan task, iaitu diasak dengan fakta dan ilmu dan kemudiannya diuji penguasaan fakta dan ilmu itu sebegitu cara, sehingga pendidikan kerohanian, pendidikan yang membentuk dan membina perasaan halus, simpati, keinsafan, kesedaran, kesediaan untuk melakukan pengorbanan, kesyukuran dan sebagainya tidak berkembang. (Wan Liz Ozman, 2000).

Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Dr Hanafi Mohamed Kamal (1995) mengakui kebanyakan guru dan pelajar menganggap pendidikan moral sebagai tidak penting berbanding mata pelajaran lain yang dinilai melalui peperiksaan. (Wan Liz Ozman, 2000). Inilah kesan penekanan peperiksaan dalam amalan pendidikan kita. Dan, ini satu lagi dualisme - antara penekanan moral dan akademik.

Tan Sri Dr Wan Mohamed Zahid Mohamed Noordin, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, menyatakan bahawa usaha untuk menggiatkan kreativiti dan kemahiran pemikiran kritikal di sekolah belum berkesan dengan 95% pengajaran dan pembelajaran masih berpusatkan kepada guru.(Wan Liz Ozman, 2000).

Daripada pendapat tokoh-tokoh di atas, kita dapat membuat kesimpulan bahawa penekanan sistem pendidikan kita adalah tidak seimbang; agenda pembinaan insan yang lebih menyeluruh menjadi tenggelam dalam penekanan terhadap maklumat dan fakta; dan, kepentingan pendidikan agama, moral dan budaya berfikir telah dibayangi oleh penekanan peperiksaan.

Sekolah Agama: Institusi Pendidikan Yang Perlu Diperkembangkan

Semasa saya mengajar di universiti tempatan, saya dapati ramai pelajar lepasan sekolah walaupun cemerlang dari segi peperiksaan SPM, mereka kurang artikulatif. Mereka sukar menghubungkan dan membuat refleksi apa yang dipelajari dalam bilik kuliah dengan persekitaran luaran. Ini berlaku mungkin kerana pengetahuan am dan penglibatan mereka dalam perkara di luar bidang amat terhad. Kecuali sebilangan yang amat kecil, ramai kalangan mereka tidak dibudayakan daripada awal untuk bijak berfikir, menerokai yang baru, merintis dan mencabar minda. Banyak yang mengharapkan orang memberi dan memberi.

Pada tahap ini, kita perlu menilai apakah sistem dan amalan pendidikan yang ada mampu mengembangkan perasaan halus dan kesedaran tinggi seperti yang disebut oleh Prof Dr Awang Had Salleh? Mampukah amalan pendidikan kita membina nilai tinggi budaya untuk menerokai dan merintis pembaharuan dan kemajuan sains dan teknologi bukan sahaja untuk kita sendiri menjadi pengguna tetapi mengeksportnya seperti hasrat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam Wawasan 2020nya?

Berbalik kepada isu sekolah agama, warga yang prihatin kini memerhati bagaimana kerajaan menangani isu yang melibatkan kepentingan ramai rakyat Melayu. Ini kerana sekolah agama baik milik kerajaan negeri mahupun rakyat, telah terbukti berjasa kepada masyarakat tempatan. Orang ramai menyokong demi kepentingan pendidikan agama yang menjadi benteng pertahanan akidah bagi ummah sejak zaman berzaman.

Sekolah agama adalah lebih daripada sekadar organisasi tetapi institusi. Institusi ini menjadi asas kepada penghasilan golongan ilmuan Islam dan pendidik yang membentuk masyarakat yang mengutamakan akhlak dan kepentingan hidup mulia. Ia juga menghasilkan tenaga kerja yang mempunyai asas-asas peribadi yang baik.

Sekolah agama ini tidak dapat digantikan fungsinya oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) yang banyak ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan sejak akhir-akhir ini. Terdapat perbezaan konsep dan amalan antara kedua-duanya sekurang-kurangnya pada hari ini. Secara umum, SMKA hanyalah menawarkan mata pelajaran Bahasa Arab di samping mata pelajaran opsyen Pendidikan Quran dan as-Sunnah; sedangkan di sekolah agama, para pelajar mendalami pengajian Islam dengan lebih mendalam dengan mengambil mata pelajaran Tauhid, Quran, Tafsir, Hadith, Fiqh, Bahasa Arab, Imla’ dan Balaghah yang menjadi asas kepada pengajian untuk melahirkan ilmuan Islam atau setidaknya generasi yang berpegang kukuh kepada agama.

Jika kita bersikap lebih terbuka dan tidak terbelenggu dengan sentimen perseteruan kumpulan, kita dapat membuat unjuran betapa institusi ini mempunyai peranan yang strategik kepada pembangunan masyarakat akan datang kerana generasi memang mencari asas dan nilai yang kukuh yang di atasnya pembangunan yang mantap dapat kita bina. Jika beberapa opsyen strategik dapat difikirkan dan dilaksanakan bagi memantapkan sekolah agama, ia akan memberi sumbangan yang lebih besar untuk tujuan ini.

Kita harus menyedari walau setinggi mana pencapaian kita hari ini, namun jika tidak kerana usaha awal dari mereka yang terdahulu kita mungkin tidak berada pada tahap ini. Dalam kita menilai kehebatan usaha yang kita lakukan berbanding dengan usaha mereka yang terdahulu, jangan lupa bahawa merekalah yang mewariskan usaha ini kepada kita. Sememangnya sektor pendidikan agama tidak terselamat daripada kelemahan. Selepas ilmu berkembang dan pengetahuan kita meluas, kita sedar bahawa di sebalik usaha mereka yang terdahulu, terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun tugas kita ialah meneruskan usaha ini dan membaiki kelemahan yang sedia ada. Kita perlu berusaha mewariskan amanah perjuangan agama dan bangsa ini kepada generasi seterusnya dengan sempurna.

Penutup

Sebagai rumusan, sementara banyak sekolah agama yang daif dari segi infrastruktur dan ada yang lemah pencapaian akademiknya, sekolah kebangsaan pula banyak yang miskin dari segi mendidik jati diri dan budi pekerti pelajar untuk melahirkan generasi pewaris, pembangun negara. Sebaliknya, secara umum, sekolah kebangsaan boleh dianggap lebih baik dari segi akademik sementara sekolah agama adalah lebih berjaya pembentukan sahsiah para pelajarnya berbanding sekolah kebangsaan.

Inilah kesimpulan yang boleh kita berikan kepada kedua-dua sistem. Sungguh malang, kerana dualisme yang sedemikian sudah berdekad-dekad wujud tetapi seolah-olah dibiarkan. Oleh itu, mencari titik pertemuan antara kedua-duanya; dengan mencari opsyen-opsyen yang lebih wajar dengan mengutamakan objektif pendidikan demi generasi pewaris dalam jangka panjang adalah lebih baik untuk difikirkan oleh pihak Kementerian Pendidikan dengan seluruh jentera pakar, pentadbir dan pendidiknya.

Saya menyarankan pemimpin kerajaan bersikap lebih objektif dan adil dalam memelihara kepentingan rakyat Melayu terbanyak. Malahan, golongan pendidik dan masyarakat prihatin (dalam pemerhatian saya, a silent majority) mahukan kerajaan terus membela, mempertahankan dan memperkasakan institusi ini dengan beberapa pembaruan yang lebih wajar. Bagi mereka, tindakan membatalkan bantuan kerajaan Persekutuan kepada sekolah agama bermakna "mencederakan" anak-anak kita yang tidak bersalah; bukan ibu bapa mereka.

Semoga dalam kita membuat keputusan, kita tidak dibayangi oleh sentimen dan perhitungan jangka pendek semata-mata yang akan merugikan kita dan generasi pada masa akan datang. Kita tidak mahu dalam isu sekolah agama, para pemimpin Melayu dan rakyatnya mengulangi kisah Pak Kaduk - lagenda yang terkenal itu. Menang sorak tetapi kampung tergadai.

Oleh MS Ismail, Kelantan, January 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.