This article was published in Wadah Wanita Islam - Berita Harian Wednesday 19 February 2003 - Roha Hassan
KECANTIKAN
adalah sesuatu yang diinginkan oleh semua insan. Kecantikan mempunyai pelbagai tafsiran
bergantung kepada individu.
Helen Gurley Brown, dalam bukunya bertajuk Action For Success mengungkapkan
kecantikan sebagai, Beauty cant amuse you, but brainwork- reading, writing,
thinking - can.
Bagi seorang gadis remaja, kecantikan ialah tubuh langsing, kulit putih gebu dan
senyuman menawan manakala remaja lelaki pula melihat kecantikan dalam bentuk
tubuh gagah dan sasa. Dalam mengungkapkan sifat Allah terhadap kecantikan dan
keindahan, Rasulullah, bersabda, maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha indah dan
menyukai keindahan. (Riwayat Muslim dan Tirmidzi).
Apa pun pandangan kita, kecantikan tetap memiliki tempat dan kepentingan tersendiri,
lebih-lebih lagi untuk remaja.
Berikut beberapa panduan kecantikan yang perlu dimiliki oleh remaja jika ingin menjadi
insan cantik:-
1. Bercita-cita tinggi dan
mempunyai wawasan
Pada usia muda, seorang remaja harus memiliki wawasan hidup. Anda mesti tahu arah dan
matlamat yang ingin dicapai.
2. Tahu membezakan di antara
yang baik dan buruk
Firman Allah bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami ada orang yang taat dan ada
pula orang yang menyeleweng dari kebenaran. Barang siapa yang taat maka mereka itu
benar-benar sudah memilih jalan yang lurus, adapun orang yang menyimpang dari kebenaran,
maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam. (Surah Al-Jin:14-15)
3. Sayangkan diri, keluarga dan
masyarakat
Seorang remaja mesti sayangkan diri sendiri, sayangkan ibu bapa serta mengasihi setiap
ahli keluarga. Mereka berusaha mengukuhkan hubungan kekeluargaan, menyayangi jiran dan
ahli masyarakat. Mereka tidak derhaka terhadap ibu bapa dan keluarga atau menyakiti jiran
dan masyarakat.
Sabda Rasulullah, maksudnya: Tidaklah sempurna iman salah seorang di antara kalian
sehingga dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri.
4. Berilmu pengetahuan dan
bermaklumat
Seorang remaja mesti mendapatkan sebanyak mungkin ilmu secara formal atau tidak formal.
Ilmu akademik penting untuk masa depan kehidupan. Ilmu kerohanian untuk mencantikkan jiwa
dan dalaman manakala ilmu pengurusan bagi mengurus diri.
5. Menjaga kesihatan fizikal,
jiwa dan minda
Kesihatan fizikal mesti dipelihara dengan memberikan hak sepatutnya kepada tubuh. Lakukan
aktiviti yang menyihatkan badan. Makanlah makanan seimbang dan berkhasiat. Elakkan
daripada mengambil sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan dan minda seperti rokok, arak
dan dadah.
Tubuh adalah amanah Allah. Untuk menyihatkan jiwa, amalkanlah zikrullah dan tingkatkan
ibadat yang ditetapkan sebagai hamba Allah. Fizikal, jiwa dan minda yang sihat akan
menyerlahkan kecantikan seseorang remaja.
Imam Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, yang berkata, Rasulullah, bersabda,
maksudnya: Dua nikmat yang sering tidak diperhatikan oleh kebanyakan manusia, iaitu
kesihatan dan waktu lapang."
6. Menghormati diri dan orang
lain
Hormatilah diri anda. Seseorang remaja mesti tahu menghormati diri dengan menjauhi tingkah
laku yang boleh menyebabkan pihak lain hilang rasa hormat kepadanya. Jauhi kegiatan dan
perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri.
Hormatilah guru yang mendidik anda, rakan dalam pergaulan, warga emas, orang yang lebih
tua dan mereka yang kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa dan agama. Abdullah Ibnu
Umar, meriwayatkan bahawa seseorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Islam
bagaimanakah yang paling baik? Nabi menjawab: "Kamu memberi makan, mengucapkan
salam kepada orang yang kamu kenal atau yang tidak kamu kenal"
7. Berlaku adil
Keadilan adalah salah satu kecantikan yang mesti diamalkan oleh remaja. Ia
merangkumi kehidupan harian. Seseorang remaja harus berlaku adil dalam pergaulan dan
semasa membuat pertimbangan. Remaja yang adil dapat membezakan di antara yang baik dan
buruk dengan jelas. Mereka dapat menunaikan hak diri dan makhluk lain dengan tepat.
8. Menjauhi maksiat
Remaja cantik mesti menjauhkan diri daripada maksiat. Mereka takut kepada firman Allah,
yang bermaksud: "Sudah nampak kerosakan di darat dan laut disebabkan perbuatan
manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan
mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)." (Surah Ar-Rum: 41).
9. Faham hak dan tanggungjawab
sebagai rakyat
Sebagai remaja cantik, anda mestilah tahu keadaan semasa tanah air. Remaja mesti
mengetahui sejarah kemerdekaan tanah airnya. Anda mestilah mensyukuri nikmat kemerdekaan
dan tahu hak sebagai rakyat.
10. Mesra alam
Alam semesta ciptaan Allah tidak saja didiami oleh manusia tetapi juga haiwan dan
tumbuhan. Seseorang remaja yang menunaikan hak dengan memelihara alam dan menyayangi
haiwan adalah remaja berakhlak mulia. Amalan ini akan diberikan ganjaran setimpal oleh
Allah.
11. Prihatin dengan masalah
sejagat.
Remaja yang cantik akhlaknya berusaha mempelajari apa yang berlaku di luar negara untuk
dijadikan iktibar. Sebagai remaja, kita mesti menunjukkan keprihatinan dengan pergolakan
yang sedang menimpa umat Islam di seluruh dunia.
Oleh Roha Hassan, 19 February 2003
The
information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes,
beliefs and views unless being stated otherwise.