This article was published in Wadah Wanita Islam, Berita Harian, Wednesday 21st May 2003 - Karimah Abdullah

Home  


Doa Adalah Ibadat, Senjata Orang Beriman

DOA ialah senjata orang beriman. Rasulullah saw melalui sunnah Baginda mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa dalam setiap amalan dan urusan yang dilakukan.

Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah. Firman Allah, yang bermaksud : "Mintalah (berdoalah) kepadaku, nescaya akan Kuperkenankan." (Surah Al-Mukminun, ayat 60).

Doa juga satu bentuk ibadat. Sebaik-baik doa ialah yang diamalkan oleh Rasulullah (doa ma'thur). Rasulullah adalah teladan terbaik kepada umat manusia yang sentiasa berdoa dalam melakukan setiap urusan Baginda. Beginilah juga yang sepatutnya dilakukan oleh kita selaku umatnya, supaya kehidupan seharian menjadi ibadat dan mendapat keberkatan Allah.

Kenapa kita dituntut supaya berdoa? Dalam menjalani kehidupan seharian, tentu kita akan berhadapan dengan pelbagai cubaan, tekanan, masalah dan sebagainya, yang semuanya adalah ujian daripada  Allah.

Hati manusia sering lalai dan tertipu dengan godaan syaitan dan hawa nafsunya. Sebab itu, Islam mengajar kita supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dan berdoa kepada-Nya. Berdoa adalah salah satu jalan untuk seseorang hamba itu terasa dekat dengan Penciptanya.

Jika kita meneliti kehidupan Rasulullah, Baginda memulakan setiap hari dengan berdoa kepada Allah. Untuk masuk ke tandas, ada doa Baginda, yang diajarkan kepada kita, yang bermaksud : "Ya Allah! Aku berlindung dengan Mu daripada kejahatan (syaitan) dan ahli-ahlinya."

Pengajaran yang dapat diambil daripada perkara ini, walaupun Rasulullah dijamin oleh Allah daripada kejahatan syaitan dan hawa nafsu, namun Baginda masih mengharapkan perlindungan Allah daripada godaan itu. Bagaimana pula kita yang tiada jaminan selamat daripada gangguan itu?

Sebenarnya doa juga dapat menjauhkan seseorang itu daripada melakukan perkara keji dan maksiat. Rasulullah mengajarkan kita doa sebelum keluar rumah, yang bermaksud : "Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah dan tiada daya dan kekuatan melainkan (dengan sokongan) Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung." Jika seseorang membaca doa ini dan menghayatinya, yang mana dalam doa ini terkandung pengakuannya untuk bertawakal dan berserah diri kepada Allah, tentu apabila keluar dari rumahnya, dia merasa dirinya dalam pemerhatian dan kawalan Allah.

Ketika berada di luar rumah, dia tidak akan melakukan perkara keji seperti melihat perkara haram. Jika dia ke tempat kerja misalnya, dia tidak akan melakukan perbuatan mungkar seperti pecah amanah, rasuah, mengumpat, memfitnah dan curi tulang.

Begitu juga, Rasulullah mengajar kita supaya berdoa ketika menaiki kenderaan. Selain memohon supaya perjalanan selamat, doa itu, apabila dibaca, memberikan kita perasaan dekat dengan Allah yang mempermudahkan urusan kita dengan kenderaan itu. Oleh itu, sepatutnya kita tidak memandu kenderaan itu ke tempat maksiat kerana kita tahu kita sentiasa berada dalam pemantauan Allah, walau di mana saja berada.

Selain itu, doa memberi pengaruh dalam hubungan kemasyarakatan. Kita digalakkan supaya banyakkan berdoa untuk sahabat dan saudara mara sempena sesuatu peristiwa. Contohnya, doa keberkatan untuk saudara dan sahabat kita yang melangsungkan perkahwinan, baru berpindah rumah, menyambut kelahiran bayi dan menziarahi mereka yang sakit.

Hikmahnya bukan sekadar dapat mencontohi sunnah, bahkan mengeratkan ukhuwah sesama kita. Bagi yang mendoakan keberkatan itu, dia berjaya menghidupkan sunnah Rasulullah dalam dirinya dan sahabat handainya. Bagi pihak yang didoakan itu pula, dia akan merasakan dirinya diambil berat oleh saudaranya itu, seterusnya menimbulkan rasa kasih sayang berpanjangan terhadap orang yang mendoakannya.

Di samping itu, doa melambangkan kesatuan hati di kalangan orang beriman. Setiap kali selepas menunaikan solat biasakanlah diri berdoa: "Ya Allah! Ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa kedua ibu bapaku dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sewaktu kecil, dan ampunilah seluruh Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat, yang masih hidup atau yang meninggal dunia di kalangan mereka."

Oleh itu, dalam keadaan umat Islam menghadapi pelbagai kemelut sekarang, marilah kita sama-sama menghulurkan doa untuk saudara yang jauh di Iraq, Palestin, Afghanistan dan tempat lain di dunia ini. Sesungguhnya doa yang menjadi penghubung hati di antara kita dan mereka di sana.

Kepada ibu bapa, ajarkan anak membaca doa ketika melakukan setiap urusan dan didiklah mereka supaya menghayati setiap doa yang dibacakan. Ini supaya mereka dapat merasai hubungan dengan Allah. Sebagaimana yang kita ketahui, doa anak salih adalah di antara bekalan yang kekal untuk ibu bapa ketika menghadap Allah nanti.

Akhirnya, marilah kita menghayati doa ini dan jadikan ia sebagai amalan harian pagi dan petang, supaya kehidupan sentiasa di atas landasan benar di sepanjang kehidupan ini.

Daripada Ubai Bin Kaab Radhiallahu Anhu, katanya, Rasulullah mengajar kami ketika berada pada waktu pagi supaya berdoa, yang bermaksud : "Kami hayati (suasana) pagi ini atas landasan fitrah dan perwatakan Islam. Berpegang kepada kalimah ikhlas (dan prinsip keikhlasan). Berpegang kepada Din (agama) Nabi kami Muhammad agama yang juga agama ayah kami Ibrahim dengan setulus hati. Dan Nabi Ibrahim sama sekali bukan seorang musyrik."

Doa yang sama dibaca juga pada waktu petang.

PENULIS adalah seorang pensyarah institut pengajian tinggi Islam dan beliau boleh dihubungi menerusi email di wadah_wjy2k@yahoo.com

Wallahu'allam.
Karimah Abdullah
21st May 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.