This article was published in Wadah
Wanita Islam,
Berita Harian, Wednesday 7th May 2003 - Endok Sempo Mohd Tahir
SAYA hendak
balik kampung hujung minggu ini, Hamisah membuka mulut dengan nada riang.
Mengapa tiba tiba-tiba saja hendak balik kampung, apahal ni? Adilah menjawab
dengan penuh kehairanan.
Hai, tak tahu hujung minggu ini, 12 Mei, adalah Hari Ibu?, kata Hamisah.
Bila kali terakhir awak balik kampung tengok emak awak?, tanya Adilah.
Enam bulan lalu, masa Aidilfitri. Apakah awak tidak mahu balik kampung untuk
meraikan Hari Ibu bersama emak? tanya Hamisah.
Saya sentiasa memuliakan dan mengingati emak saya sebanyak lima kali sehari, sehabis
solat lima waktu, saya mendoakan kesejahteraannya, saya pulang ke kampung sebulan sekali
untuk memberikannya wang bulanan sebanyak RM500, jawab Adilah, tegas.
Banyaknya awak bagi duit kat mak awak, habis awak hendak makan apa?, tanya
Hamisah, hairan.
Jasa dan pengorbanan emak mengandung dan melahirkan saya tisak ternilai. Emak
berjuang dalam keadaan antara hidup dan mati masa melahirkan saya. Kemudian, emak
membesarkan saya dengan penuh kasih sayang tanpa syarat, dari saya sebesar ibu jari. Emak
didik saya menjadi orang beriman, menyekolahkan saya hingga jadi warga yang tahu erti
tanggungjawab. Tidak ternilai harganya dan tidak terhitung budinya! Semoga Allah merahmati
emak saya, kata Adilah.
Tetapi mengapa susah-susah sangat, kena balik kampung, kan duit tu awak boleh
masukkan saja dalam akaun dia, cukuplah, kata Hamisah.
Jawab Adilah: Sebenarnya, saya sangat rindukan renungan redup mata emak. Saya rasa
tenang berada bersamanya. Saya pun dapat rasa, emak juga amat rindu pada anak-anaknya.
Saya mahu balik memeluknya, mahukan restunya dalam apa saja yang saya kerjakan.
Lagipun Rasulullah pernah mengatakan, memandang wajah ibu bapa dengan penuh kasih
sayang adalah satu ibadat. Awak pun tahu, bukan senang hendak buat pahala zaman sekarang
ni. Allah bagi pahala percuma, hanya dengan kita melihat wajah ibu kita, Subhanallah.
Lagipun, emak saya dah tua, kita tak tahu, bila-bila masa saja Allah akan
menjemputnya. Saya rasa masa saya untuk melihatnya semakin sedikit. Kita masih muda, duit
boleh dicari, tetapi umur ibu tidak akan menjadi lebih muda.
Jawapan itu membuatkan Hamisah sebak. Dalam suara tersekat-sekat, dia berkata,
Terima kasih, Adilah, kata-kata awak tu benar-benar mengusik hati saya. Saya rasa
tiba-tiba saja hati menjadi sayu. Saya akan tatap wajah tua emak saya. Saya hendak peluk
dan cium emak saya sepuas-puasnya. Saya akan layan dia seperti seorang permaisuri apabila
saya balik kampung nanti.
Saya berjanji saya akan sentiasa mendoakannya paling minimum lima kali sehari
semalam ketika dia hidup dan juga apabila meninggal dunia kelak. Saya tidak mahu kesusahan
hidup menjadi alasan untuk tidak menunjukkan prihatin dan kasih sayang kepada emak saya.
Kesibukan bekerja dan urusan peribadi bukan alasan untuk saya tidak menjenguk dan bertanya
khabar emak yang kesunyian di kampung.
Perbualan dua sahabat itu mengingatkan kita kepada sebuah hadis Rasulullah saw. Daripada
Mu'awiyah bin Jahimah As-Salami, Jahimah datang kepada Rasulullah, lalu berkata:
Wahai Rasulullah, aku ingin pergi berperang dan aku sekarang datang minta nasihat
kepada tuan.
Baginda bertanya: Apakah kamu masih mempunyai ibu?
Dia menjawab: Masih.
Baginda bersabda: Uruslah dia, kerana syurga di bawah kedua kakinya. (Hadis
riwayat Nasa'i, Ahmad dan Ibnu Majah)
Rasulullah memahami keinginan Jahimah untuk pergi berperang dan pada masa sama mengetahui
ibu Jahimah sakit dan perlukan penjagaan. Namun, Baginda memerintahkannya mengurus ibunya
kerana dengan mengurus ibunya, dia akan mendapatkan balasan syurga. Subhanallah, ada saat
tertentu di mana menjaga ibu sakit lebih utama daripada berjihad di jalan Allah.
Menerusi hadis itu, Baginda dengan tegas menerangkan keistimewaan yang Allah berikan
kepada ibu, pemegang kunci syurga anak-anaknya. Jika anak mereka berbakti kepada ibunya
sesuai dengan tuntutan Islam, Allah akan memudahkan mereka masuk ke syurga. Sebaliknya,
jika anak itu derhaka kepada ibunya, pintu syurga menjadi sukar untuk mereka lalui.
Kehormatan tinggi seperti ini hanya menjadi hak seorang ibu dan tidak menjadi hak seorang
bapa. Ini membuktikan bahawa Islam benar-benar mengangkat martabat dan darjat kaum wanita,
memperlakukannya begitu terhormat sehingga dijadikan penentu bagi anak-anaknya untuk
memasuki syurga stau sebaliknya.
Firman Allah, yang bermaksud: Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik
kepada ibu bapanya, ibunya mengandungkannya dengan susah payah, melahirkan dengan susah
payah pula, mengandungkannya, menyusukan sehingga 30 bulan, sehingga apabila dia dewasa
dan berumur 40 tahun, dia berkata: Wahai Tuhanku, tunjuklah aku supaya aku mensyukuri
nikmatmu yang dengannya Engkau merahmati aku dan ibu bapa, dan supaya aku dapat membuat
amal salih yang Engkau redai, berilah kebaikan (perbaikilah aku) kepadaku, dengan
memberikan kebaikan kepada anak cucuku. Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Engkau, dan aku
termasuk orang yang berserah diri. Mereka itulah orang yang kami terima daripada mereka
amal yang baik, yang mereka kerjakan, dan kami ampuni kesalahan mereka bersama penghuni
syurga sebagai janji benar yang dijanjikan kepada mereka, (Surah al-Ahqaf, ayat
15-16).
Sesungguhnya, memuliakan ibu bukan hanya setakat merayakan sebuah hari yang dinamakan
Hari Ibu. Menyanjung ibu bukan sekadar memperingatinya setahun sekali dengan
pelbagai upacara, peraduan, makan-makan, atau memberinya hadiah serta pengisytiharan
luaran bersifat material.
Memang benar, sambutan Hari Ibu ada agenda baik di dalamnya, iaitu menjana perhubungan
erat antara enak dan ibu bapa. Namun begitu, di dalam Islam, terdapat pendidikan dan
pengajaran mengenai amalan dan konsep berbakti kepada ibu bapa yang mencerminkan ketulenan
dan keikhlasan, berbanding sambutan Hari Ibu yang seolah-olah menampakkan kepura-puraan
dan bersifat materialistik.
Berbakti kepada ibu bapa tidak harus dijadikan sebagai budaya setahun sekali,
sebaliknya, ia mesti dijadikan budaya sepanjang tahun supaya amanah memulia dan
memperingati ibu tercinta, dilakukan setiap masa. Malah, banyak ayat dalam al-Quran dan
hadis, memberi galakan dan mengajar umat cara berbakti kepada ibu bapa, sama ada mereka
masih hidup atau sudah tiada.
Kita seharusnya menjadikan Hari Ibu sebagai peringatan, apakah semua ibu
(wanita) telah diberi ruang dan waktu sesuai dengan fitrah mereka diciptakan. Begitu
banyak yang dikerjakan oleh tangan seorang ibu/wanita yang boleh disimpulkan kepada dua.
Pertama, betapa berat tanggungjawab ibu/wanita, dan kedua, begitu besar cintanya kepada
anak, tanpa membezakan sama ada anaknya perempuan atau lelaki.
Semoga Hari Ibu tahun ini menjadi peringatan kepada kita, juga bagi ibu/wanita, untuk
menggunakan tangannya dengan sebaik-baiknya, supaya insan kecil yang dididik
dan didodoinya, membesar menjadi manusia yang hebat membacakan ayat suci dan tidak
memperlecehkan kedudukan wanita/ibu.
Semoga dari tangan ibu/wanita ini, akan lahir manusia berbudi luhur yang
mengambil berat nasib dan penderitaan insan lain, supaya negara tidak dipenuhi manusia
yang hanya tahu memikirkan diri sendiri dan merosakkan alam serta masyarakat
sekelilingnya.
PENULIS seorang
jurutera dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan wanita Islam serta boleh dihubungi di e-mel
wadah_wjy2k@yahoo.com
Oleh Endok Sempo
Mohd Tahir
The
information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes,
beliefs and views unless being stated otherwise.