This article was published in Wadah Wanita Islam, Berita Harian, Wednesday 14th May 2003 - Roha Hassan
PAKAR psikologi Barat, Carl
Rogers (1985), menyatakan, ada beberapa perubahan ketara kepada seseorang remaja.
Perubahan itu sedikit sebanyak mampu memperjelaskan bagaimana rakan sebaya begitu penting
dan perlu dalam memenuhi tuntutan naluri seseorang remaja.
Berikut ialah di antara perubahan itu:-
Perubahan
fizikal
Bagi seorang gadis contohnya, tubuh mula menampakkan sifat kewanitaannya seperti datang
haid, payu dara membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar. Simbol daya tarikan
seks mula kelihatan. Rangsangan seksual juga mula meningkat.
Perubahan emosi
dan pemikiran
Pada peringkat remaja, manusia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip
hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal mengenai kehidupan golongan
dewasa.
Perubahan ini mendatangkan kegelisahan kepada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak
mampu, manakala untuk mengikut jejak langkah golongan dewasa, mereka tidak berdaya.
Hasilnya, mereka kadang kala gembira, kesunyian dan berkhayal terhadap idola
masing-masing. Mereka juga cenderung meniru gaya berpakaian, cara pergaulan dan cara
berfikir golongan dewasa.
Narcisma
Ia adalah keadaan ketagihan cinta, perasaan ingin dicintai dan keinginan mendapatkan kasih
sayang untuk diri sendiri. Ketika kanak-kanak, perasaan ini diarahkan kepada ibu bapa atau
keluarga. Pada usia remaja, perasaan narcisma memuncak kerana remaja mengalami
emotional vacuum iaitu rasa kesunyian yang hebat, kesan daripada peralihan
masa untuk berdikari serta memperluaskan jaringan dan kuantiti rakan sosial yang sesuai.
Berbanding remaja lelaki, remaja perempuan dikatakan memiliki perasaan
narcisma yang amat tinggi kerana dari segi biologinya, seorang remaja
perempuan memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar daripada kesunyian.
Faktor inilah yang mungkin menyebabkan aktiviti bercinta dan bertukar pasangan di kalangan
remaja menjadi satu lumrah dalam kehidupan sesetengah mereka.
Menyertai
kumpulan.
Perubahan emosi dan fikiran juga mendorong remaja memperluas dan memperbesarkan kuantiti
dan jaringan rakan sosialnya. Ia dilakukan mengikut umur sebaya, hobi, prinsip hidup, cara
pakaian yang sama dan sebagainya. Menjadi satu kebiasaan jika remaja dilihat mempunyai
identiti tersendiri walaupun ada di antara mereka yang mengalami krisis identiti. Ini
adalah tanda perubahan sihat dalam pertumbuhan dan perkembangan mental remaja. Namun, jika
mereka tersalah pilih, mereka akan terjerumus ke dalam aktiviti yang tidak sihat.
Menentang
kekuasaan
Remaja mudah terasa kekuatan kuasa yang ada pada ibu bapa, guru dan orang dewasa yang
boleh menghalang cita-cita mereka. Perbezaan pendapat dan gaya hidup di antara remaja
dengan ibu bapa, guru dan orang dewasa, akan mencetuskan rasa permusuhan. Ini kerana
golongan remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang sedang
bergelora. Konflik harga diri ini menyebabkan remaja akan menjadikan rakan sebaya tempat
mengadu masalah atau melakukan sesuatu untuk membuktikan mereka boleh berdikari dan
berkemampuan seperti orang dewasa.
Selain faktor di atas, peranan rakan sebaya dalam kehidupan remaja menjadi bertambah
penting apabila:
Ibu bapa dan ahli keluarga terlalu sibuk dengan urusan masing-masing tanpa mampu
meluangkan masa secukupnya untuk mendampingi anak remaja mereka. Remaja yang tidak
mendapat kasih sayang dan tumpuan sewajarnya daripada ibu bapa dan keluarga akan
mendapatkannya daripada orang luar, termasuk rakan sebaya.
Sekali pun ibu bapa dan keluarga mampu menghabiskan banyak masa bersama anak mereka,
kurang berkomunikasi atau komunikasi yang kurang berkesan, akan menyebabkan remaja lebih
selesa berkongsi masalah dengan rakan sebaya. Sikap ibu bapa dan keluarga yang mudah
menghukum sebelum menyiasat menyebabkan anak remaja kecewa. Tambahan, apabila mereka
berhadapan dengan permasalahan yang kompleks sehingga membabitkan nama baik keluarga dan
maruah dirinya. Mereka bimbang akan dihukum sekiranya permasalahan itu dimaklumkan kepada
keluarga
Kurang yakin terhadap diri, ibu bapa dan adik beradik turut menyebabkan remaja mencari
seseorang atau kumpulan tertentu seperti rakan sebaya sebagai tempat bergantung. Sikap
acuh tak acuh ibu bapa terhadap tanggungjawab mereka, menyebabkan remaja memandang rendah
kemampuan ibu bapa dan ahli keluarga. Mereka berasa lebih selamat dan selesa apabila
bersama rakan sebaya berbanding keluarga.
Satu perkara yang perlu diingat oleh ibu bapa dan remaja sendiri adalah, ketiadaan garis
panduan yang jelas dalam membuat keputusan untuk menyertai mana-mana kumpulan dari
kalangan rakan sebaya, boleh menyebabkan remaja tersalah pilih kumpulan dan terjerumus ke
dalam aktiviti tidak sihat.
Allah berfirman, yang bermaksud: Dan janganlah engkau menurut orang yang kami
lalaikan hatinya dari mengingati Allah, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya. (Surah
al-Kahf, ayat 28)
Bukan semua rakan sebaya patut dijadikan sahabat. Sabda Rasulullah saw, yang bermaksud:
Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu
memperhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.
Imam Al-Ghazali menyatakan: Hendaklah sahabat yang dipilih seorang yang waras
fikirannya, baik budi pekerti, tidak fasik dan tidak terlampau mementingkan hal keduniaan.
Sifat waras fikiran itu menjadi pokok dalam kehidupan kerana tiada guna bersahabat
dengan orang yang kurang akal disebabkan ia akan membawa kepada perasaan tidak tenteram
dan perselisihan.
Setiap orang patut memiliki budi pekerti luhur. Tiada gunanya bersahabat dengan orang yang
sering dikuasai oleh perasaan marah dan hawa nafsu yang buruk.
PENULIS adalah seorang pengurus sumber manusia dan ketua kelab remaja pertubuhan bukan kerajaan wanita Islam dan boleh dihubungi menerusi email di wadah_wjy2k@yahoo.com
Wallahu'allam.
Roha Hassan
14th May 2003
The
information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes,
beliefs and views unless being stated otherwise.