This article was published in Wadah Wanita Islam, Berita Harian, Wednesday 1 November 2003 - Dr Suriya Osman

Home  


Ihya Ramadan: Puasa Lancarkan Sistem Penghadaman, Buang Toksin

PUASA atau menahan diri daripada makan dan minum menjadi amalan manusia pelbagai kaum dan agama. Ada yang yang puasa daripada makan, tetapi tidak daripada minum. Ada yang puasa daripada makan berhari-hari dan berminggu-minggu. Ada yang berpantang daripada memakan daging dan hanya makan sayur. Pendek kata, puasa digunakan sebagai amalan ibadat manusia.

Amalan puasa yang dituntut oleh syariah Islam ialah menahan diri daripada makan dan minum dari fajar hingga senja. Puasa adalah amalan yang sangat sukar dan lumrahnya tidak dapat dilaksanakan kecuali dengan mentaati perintah Allah.

Apakah hikmah puasa dan manfaatnya dari segi kesihatan?

Amalan puasa adalah suatu pembersihan dari segi rohani dan jasmani. Jika dilihat definisi puasa mengikut Islam iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta menahan diri daripada semua perkataan pemikiran atau pendengaran perkara yang tidak baik, ini adalah gambaran menahan nafsu.

Faedah yang diperoleh ialah kekuatan rohani. Faedah dari sudut kesihatan fizikal jarang diketahui. Lumrahnya kita tidak faham cara puasa yang boleh mendatangkan faedah kesihatan. Ini kerana terlalu mengikut tradisi yang menjadi kebiasaan apabila berpuasa. Disebabkan terlalu rindu dengan makanan, orang ramai biasanya akan makan sepuas-puasnya apabila berbuka. Amalan ini bukan saja akan mengurangkan pahala puasa, malah boleh memudaratkan orang yang berbuat demikian.

Dalam keadaan tidak berpuasa, banyak tenaga badan digunakan untuk penghadaman. Proses metabolisma dalam sel sentiasa berjalan selagi kita makan dan minum. Sel badan mempunyai fungsi memproses bahan makanan untuk dijadikan bahan yang boleh digunakan oleh sel dan badan.

Dalam proses ini bahan buangan dihasilkan dan perlu dikeluarkan dari sel. Jika sel badan terlalu sibuk memproseskan makanan yang diterima, proses pembuangan ini kurang berkesan.

Dalam keadaan biasa pergerakan zat makanan (dan toksin) ke arah lemak dan daging.

Makanan yang dimakan dengan kadar berlebihan daripada yang diperlukan akan menyebabkan terkumpul bahan yang disimpan sebagai lemak. Jika apa yang kita sebut tadi, fungsi perkumuhan kurang berkesan, maka toksin yang wujud pun akan tersimpan dalam lemak.

Bahan yang diproses juga mengalir ke otot-otot dan struktur lain dalam badan yang memerlukannya.

Sewaktu tidak berpuasa juga, proses pembakaran lemak tidak berkesan (maka proses pembuangan toksin tergendala). Ini kerana lemak adalah tenaga yang tersimpan dan hanya akan digunakan jika bahan bakar biasa yang terhasil daripada karbohidrat tidak ada.

Untuk menghadamkan makanan, darah mengalir ke perut serta hati dan ini akan mengurangkan pengaliran darah ke otak.

Jika proses perkumuhan sentiasa tidak berjalan dengan berkesan, lama kelamaan sel badan akan berfungsi dengan tidak optimum kerana proses pembuangan tergendala.

Ini akan menyebabkan sistem pertahanan, penghadaman dan sebagainya turut tergendala yang menyebabkan seseorang itu lenguh badan, cepat letih, mudah demam dan sebagainya.

Dalam keadaan puasa, tidak ada kegiatan memproses makanan, tetapi proses perkumuhan tetap dijalankan. Oleh kerana sel badan dapat memberi tumpuan kepada proses pembuangan toksin dan bahan buangan, kegiatan ini berjalan lancar.

Dengan itu, sumber tenaga beralih daripada glukosa kepada lemak yang tersimpan. Pembakaran lemak akan mengeluarkan toksin dari sel.

Dalam keadaan puasa juga, hati dan ginjal memberi tumpuan kepada pembuangan toksin dan bahan buangan lain kerana berehat daripada memproses bahan makanan. Darah (bersama oksigen dan bahan buangan dari sel) mengalir ke otak dan organ lain.

Kelesuan badan berkurangan selepas beberapa hari berpuasa kerana badan mengambil tenaga daripada lemak.

Proses pembuangan toksin dari badan yang berlaku ketika berpuasa tidak akan dapat dilakukan dengan baik jika seseorang itu sembelit.

Ini disebabkan organ perkumuhan utama dalam badan kita ialah sistem usus besar yang termasuk hati dan sistem ginjal. Jika kurang air dalam badan, buah pinggang akan kurang lancar.

Ini bermakna, ketika berpuasa, usus besar dan buah pinggang perlu dijaga supaya ia berupaya menjalankan proses perkumuhan yang akan membersihkan badan dan memulihkan fungsi sel ke arah yang optimum.

Proses pembuangan toksin dari dalam sel badan, terutama sel lemak akan menyebabkan pengaliran semula toksin ini ke dalam darah sebelum dapat keluar dari badan. Ini menimbulkan beberapa gejala yang sering berlaku pada awal puasa, termasuk: -

.  Sakit kepala. Ini berlaku disebabkan toksin yang terkumpul dalam sel mengalir semula ke dalam darah sebelum boleh dikeluarkan dari badan seterusnya

·  Lenguh badan.

·  Lidah berdaki dan mulut berbau.

·  Kencing pekat dan berbau.

·  Cirit-birit.

·   Letih. Keadaan ini pada awal puasa disebabkan badan enggan menggunakan tenaga yang tersimpan dan masih mengharapkan tenaga daripada makanan. Justeru, kadar gula dalam darah berada pada tahap rendah dan badan terasa lemah, walaupun hakikatnya, tenaga tersimpan dalam lemak mencukupi untuk beberapa bulan tanpa makan.

PENULIS boleh dihubungi melalui wanitajim0-@yahoo.com

Wallahu'allam.
Dr Suriya Osman
1 November 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.