This article was published in Wadah Wanita Islam, Berita Harian, Wednesday 24 September 2003 - Norani Shamsudin

Home  


Salah Pilih Rakan, Jurang Generasi Punca Remaja Liar

IBU bapa dan pendidik semakin buntu memikirkan kenakalan remaja yang menjadi-jadi hari ini. Mengapa saban hari begitu ramai remaja terbabit dengan dadah dan seks bebas? Tidak mungkinkah mereka menurut saja budaya datuk nenek yang menjadi warisan adab dan akhlak Melayu?

Semakin hari semakin semarak budaya Barat yang diikuti; terkinja-kinja dengan gaya hip-hop (ranggi) dan sebagainya. Semakin hari, remaja semakin `jauh' daripada ibu bapa.

Kenakalan ini biasanya dilakukan oleh remaja yang gagal dalam menjalani proses perkembangan jiwanya, baik pada saat remaja atau zaman kanak-kanak. Julat masa kanak-kanak dan remaja berlangsung begitu singkat berbanding perkembangan fizikal, psikologi dan emosi yang begitu cepat.

Secara psikologi, kenakalan remaja wujud daripada konflik yang tidak diselesaikan dengan baik pada zaman kanak-kanak atau remaja.

Sering kali berlaku pengalaman traumatik pada masa lampaunya seperti dikasari. Begitu juga, mereka terdedah dengan lingkungan atau trauma yang tidak menyenangkan seperti kedudukan ekonomi yang membuatnya berasa rendah diri.

Mengatasi kenakalan remaja bererti menatang kembali emosi remaja yang terkoyak itu.

Trauma dalam hidupnya harus diselesaikan, konflik psikologi yang tergantung harus dileraikan. Mereka harus diberi lingkungan yang berbeza daripada sebelumnya

Memahami perkembangan anak banyak membantu mengurangkan kenakalan remaja.

Masa remaja adalah usia seseorang mula berintegrasi dengan orang dewasa atau usia di mana anak tidak lagi berasa dirinya berada pada tingkat lebih rendah daripada orang lebih tua, kecuali berada pada tingkatan sama, yang sekurang-kurangnya dalam masalah hak.

Integrasi dalam masyarakat (dewasa) mempunyai banyak aspek berhubungan dengan masa baligh. Ini termasuk juga perubahan intelektual yang menonjol.

Remaja harus mengikuti kemahuan budaya muda apabila mahu diterima kelompok sebayanya. Mereka juga harus mempelajari perilaku dan nilai yang harus diubah sebelum diterima oleh budaya dewasa.

Setiap tahap usia remaja mempunyai tugas perkembangan yang harus dilalui. Apabila seseorang gagal melaksanakan tugas perkembangan pada usia sebenarnya, perkembangan pada tahap berikutnya akan terbantut, lalu mencetuskan masalah pada diri remaja.

Pada usia ini, remaja cuba mencari penyesuaian diri dengan kelompok sebayanya. Dia mula memerhati pendapat orang lain, selain menginginkan kebebasan dan keyakinan diri.

Keperluan mencari identiti diri inilah membuatkan remaja bercelaru lalu mereka mencuba perkara baru supaya diterima dan dihargai kelompok sebayanya. Keadaan ini berlaku walaupun kadangkala ia memberikan kesan negatif terhadap dirinya.

Dengan timbulnya pelbagai gaya hidup masa kini seperti hip hop, rappers dan punk, ada remaja salah memilih gaya hidup yang mereka inginkan. Mereka akan mengikuti aliran yang berlaku pada saat itu, walaupun ia tidak sesuai dengan kata hati. Mereka mengikuti kecenderungan itu semata-mata dapat diterima rakan sebayanya.

Akibat gaya hidup salah itu, berlaku banyak salah laku negatif seperti penagihan dadah, pergaulan bebas, seks rambang dan sebagainya yang banyak menyebabkan kehamilan luar nikah serta jangkitan HIV/Aids.

Kenakalan remaja juga membabitkan aksi kekerasan. Aksi kekerasan ini berlaku di mana saja seperti di rumah, jalan, sekolah, bahkan di kompleks beli-belah. Aksi agresif membabitkan perlakuan secara lisan seperti memaki hamun ataupun kekerasan fizikal seperti memukul dan mencederakan. Oleh kerana aksi keganasan itu sering disaksikan remaja, kebanyakannya menganggap ia perkara biasa.

Remaja yang terpengaruh dengan aksi kekerasan akan mengalami fikiran kejam seperti perasaan mahu menyerang ketika marah, menumbuk, menghancurkan atau melempar sesuatu dan ia menjadi tidak terkawal serta agresif sebagai tindak balas terhadap marah.

Kekecewaan, kesakitan fizikal, ejekan, penghinaan atau ancaman sering memancing marah dan akhirnya mengarah tindakan agresif. Anak sering kali mengejek ketika bermain, begitu juga dengan remaja. Biasanya mereka mula saling mengejek dengan ringan sebagai bahan bahan tawa. Kemudian yang diejek ikut membalas ejekan. Lama kelamaan ejekan semakin panjang dan terus-menerus dengan ketegangan yang kian tinggi, bahkan sering disertai kata-kata kotor dan cabul.

Ejekan ini semakin hangat apabila rakan yang menjadi penonton, turut memanaskan situasi. Akhirnya, apabila salah seorang tidak dapat menahan marahnya, dia mula menyerang lawannya. Ada beberapa faktor biologi yang mempengaruhi peri laku agresif.

- Faktor genetik berpengaruh dalam pembentukan sistem neural otak yang mengatur perilaku agresif. Daripada penelitian terhadap haiwan, faktor keturunan menyebabkan haiwan jantan lebih mudah marah berbanding betina.

- Sistem otak yang tidak terdedah dalam perlakuan agresif, ternyata dapat menguat atau menghambat sirkit neural yang boleh mengendalikan serta mengawal perlakuan agresif sehingga muncul hubungan timbal balik antara kenikmatan dan kekejaman.

Prescott (Davidoff, 1991) menyatakan orang yang berorientasikan kenikmatan kurang melakukan agresif sedangkan orang yang tidak pernah mengalami kesenangan, kegembiraan atau santai, cenderung untuk melakukan kekejaman.

Keinginan kuat untuk `menghancurkan' kerana mereka dinafikan untuk menikmati sesuatu rangsangan `kenikmatan' ketika bayi, menyebabkan berlaku `kecederaan otak'.

- Kimia darah

Kimia dalam badan yang ditentukan oleh faktor keturunan juga dapat mempengaruhi perilaku agresif. Dalam eksperimen suntikan hormon testosteron terhadap tikus dan beberapa haiwan lain (testosteron ialah hormon androgen utama yang memberikan ciri kelamin jantan), didapati tikus itu lebih kuat dan sering berkelahi. Ketika testosteron dikurangkan, haiwan itu menjadi lebih lembut. Selain itu, faktor luaran turut mempengaruhi perilaku seseorang.

- Jurang generasi

Adanya perbezaan atau jurang pemisah antara anak dengan ibu bapa dapat dilihat dalam bentuk hubungan komunikasi yang semakin minimum dan sering kali tidak berhubungan. Kegagalan komunikasi keibubapaan terbukti menjadi salah satu penyebab anak mempunyai perilaku agresif.

- Kemiskinan

Kemiskinan yang menghimpit menyebabkan ada kalanya anak meniru `cara agresif' ayah seperti memukul isteri, anak dan sebagainya.

- Anonimiti

Kehidupan di kota mencetuskan sikap atau budaya jaga tepi kain sendiri. Keadaan ini menyebabkan individu lebih berani melakukan sikap agresif kerana tiada sesiapa berhak menegurnya.

- Model kekerasan

Perilaku anak juga banyak dipengaruhi aksi ganas di televisyen dan permainan video. Model pahlawan yang dipaparkan dalam filem sering ditiru atau menjadi imbalan anak selepas watak itu bertindak keras. Bahan mainan di pusat membeli-belah juga menjadi ikutan anak bersikap agresif. Ibu bapa lazimnya tidak begitu peduli jenis mainan yang diminta anak. Kepada ibu bapa, apa yang lebih penting anak gembira dan tidak menangis lagi. Mereka tidak menyedari permainan sangat berkesan dalam memperkuat peri laku agresif anak pada masa akan datang.

Bersambung

PENULIS adalah perunding pendidikan dan motivasi serta boleh dihubungi melalui wanitajim0-@yahoo.com

Wallahu'allam.
Norani Shamsudin
24 September 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.