Make your own free website on Tripod.com

This article was published in Wadah Wanita Islam, Berita Harian, Wednesday 10 September 2003 - Dr Suriya Osman

Home  


Perubahan Sikap Cara Tangani Tekanan Emosi

APABILA rasa takut, marah, tertekan dan berlaku perubahan emosi secara tiba-tiba, badan kita mengeluarkan adrenalin. Secara fisiologi kita akan menunjukkan reaksi dan bersedia untuk melawan atau cabut lari (fight or flight).

Jantung berdebar kerana kadar kelajuan jantung bertambah, pengaliran darah ke perut dan otak berkurangan. Pengaliran darah ke otot bertambah!

Jika ada perasaan takut, aliran darah ke kulit berkurangan, muka menjadi pucat. Jika marah, tekanan darah bertambah, badan menjadi panas dan pembakaran makanan yang menjana tenaga meningkat (insulin banyak dikeluarkan untuk memproses gula dalam darah). 

Reaksi badan sebegini berpunca daripada tindakan refleks yang wujud dalam badan manusia sejak azali (ciptaan Allah). Ini adalah satu mekanisme survival.

Cara manusia menghadapi musuh berbeza menurut zaman dan perkembangan teknologi. Pada zaman silam manusia menghadapi musuh atau binatang buas yang menyerang dengan tenaga fizikal.

Kita memerlukan tenaga yang banyak. Demikian juga aliran darah ke otot, untuk bersedia kalau dilukai atau digigit binatang atau musuh lain. Darah pada kulit perlu kurang supaya pendarahan tidak kencang dan mudah berhenti.

Pada masa ini, musuh kita datang dalam pelbagai bentuk. Di antaranya pengaruh dan kesan buruk komputer dalam kehidupan. Kerja pejabat yang menimbun, tarikh tamat kerja yang tidak ada hentinya, berkejar-kejar dengan mesyuarat dan berperang dengan kesesakan lalu lintas. Maka, reaksi 'fight fright or flight' menjadi suatu liabiliti.

Ini lebih-lebih lagi, apabila keadaan tekanan (stress) berpanjangan dan adrenalin serta insulin sentiasa dirembeskan. Akibat tindak balas ini adalah 'penyakit'.

Organ yang sentiasa kekurangan darah akan menjadi lemah dan tidak keruan. Organ yang mendapat lebih darah pun akan mengalami 'kesesakan'. Contohnya, perut yang kurang mendapat aliran darah menjejaskan penghadaman, penyerapan dan perkumuhan (pembuangan toksin).  

Apabila keadaan gangguan emosi berterusan, sistem pengeluaran hormon mula menunjukkan kesan bebanan emosi dan ini menjejaskan fungsi badan. Tanda bebanan ini menimbulkan gejala seperti keadaan sentiasa letih dan penat serta cepat marah, gangguan penghadaman, sembelit, terlalu kurus atau gemuk dan gangguan tidur.

Keadaan ini apabila berlarutan bertahun-tahun lamanya tanpa reda akan menimbulkan penyakit kronik.

Evolusi penyakit yang disebabkan perubahan emosi boleh difahami dengan melihat kepada satu contoh penyakit seperti kencing manis. 

Tekanan perasaan akan menyebabkan kadar hormon insulin sering meningkat, sementara gula dalam darah sering rendah. Individu ini akan ketagihan gula. Ini kerana kadar gula dalam darah kurang disebabkan pengeluaran insulin berlebihan yang dicetuskan oleh tekanan emosi. Lama kelamaan organ pengeluaran insulin akan 'kelelahan' (exhaustion) dan pengeluaran
insulin akan berkurangan sehingga tidak dapat menunaikan keperluan badan. Dengan ini penyakit diabetes bermula.

Perlu dielak pengambilan gula yang mudah serap seperti glukosa dan sukrosa. Kebanyakan penyakit kronik mempunyai rentetan yang bermula dengan tekanan yang akhirnya menyebabkan degenerasi organ tertentu dan seterusnya menghasilkan penyakit.

Soalan sekarang, jika demikian, apa yang boleh dilakukan untuk meredakan tekanan emosi apabila sentiasa menghadapi keadaan dan keadaan yang menimbulkan tekanan dalam kehidupan seharian?

Banyak kajian menunjukkan bahawa faktor yang menyebabkan tekanan bagi seorang mungkin tidak menyebabkan tekanan kepada orang lain. Jadi faktor yang menyebabkan tekanan, bukan semata-mata kerana keadaan yang tegang atau sukar, tetapi sikap seseorang itu melihat atau menanggapi sesuatu keadaan.

Contohnya, Suzana tidak cekap memandu dan tidak suka memandu. Jadi, apabila tahu perlu bekerja luar, dia mula berasa tertekan. Malam sebelum perjalanan, dia susah tidur, selera makannya kurang dan kaki tangannya sejuk.

Lain pula dengan Jo. Jo minat memandu dan menganggap memandu kereta jarak jauh sebagai sesuatu yang menggembirakan. Maka, apabila diberi tugas luar, dia tidak mengalami sebarang tekanan. Kerja berat dan susah bagi Suzana adalah kerja yang menggembirakan dan ringan pula bagi Jo.

Tekanan bukan disebabkan semata-mata keadaan luaran tetapi tindak balas dari badan sendiri terhadap sesuatu rangsangan. Jadi kita harus meneliti semula reaksi badan kita ini.

Sebenarnya ada jalan untuk mengubah tindak balas badan iaitu dengan perubahan sikap yang hanya boleh timbul selepas mengenali diri, reaksi badan dan mengenal pasti apa yang menyebabkan reaksi tekanan.

Reaksi badan terhadap rangsangan berlaku sejak dari bayi dan berbeza di antara seorang individu dengan yang lain. Ia bergantung kepada pengalaman yang dilalui dan tentunya berbeza walaupun dari keluarga yang sama.

Faktor dalaman yang menjadi reaksi terhadap rangsangan bukan perkara kecil dan kita boleh faham mengapa ada ayat al-Quran yang berbunyi "Allah tidak akan mengubah nasib sebuah kaum kecuali mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka." 

Apabila reaksi terhadap rangsangan luaran tidak sesuai (seperti yang berlaku pada Suzana), maka kita akan kurang berkesan dalam menangani masalah dan asam garam hidup. Kita mula menyalahkan nasib malang dan tidak melihat ini sebagai masalah diri yang perlu ditingkatkan. Maka, rangsangan dan tindak balas yang dilakukan menjadi tidak sesuai.

Apakah strategi yang mudah kita lakukan untuk menangani tekanan.

- Memahami bahawa perubahan sikap adalah perlu.

- Bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan dan reda atas segala dugaan serta sentiasa melihat kepada kelebihan, jangan memikirkan kekurangan.

- Mengenali reaksi badan dan memahami ada masanya reaksi badan tidak sesuai serta berusaha mengubah reaksi badan dengan melakukan teknik pernafasan melalui latihan jasmani (breathing exercise) dan rohani melalui tafakur.

- Ada masanya kita tertekan oleh perangai orang lain, dia tidak seperti yang kita sangka, sebab perangai dan perbuatannya lain daripada hakikat. Terimalah hakikat dan buangkan pengharapan kita. Terimalah semua manusia seadanya. Terimalah perbezaan pendapat dengan cara yang baik dan bertata susila.

- Faham bahawa kita boleh mengubah diri sendiri dan hanya dengan perubahan diri yang kita dapat menangani emosi dan keadaan apa juga pun. Kita tidak boleh mengubah diri orang lain.

- Dapatkan kekuatan dan ilham diri dari tafakur, solat dan doa. Belajar cara yang paling berkesan untuk melakukan segala ibadat ini.

- Belajar untuk bersabar dengan kerenah manusia sebagaimana Rasulullah bersabar dengan penduduk Taif yang melemparnya dengan batu. Namun, Baginda berdoa :"Ya Allah, ampunkanlah mereka kerana mereka tidak ketahui apa yang mereka lakukan."

Selepas mengetahui faktor emosi dalam evolusi penyakit, jelas bahawa kesihatan kita bergantung kepada suatu perubahan dalam diri untuk menjadi seorang beriman dan bertakwa serta penuh pergantungan kepada Allah.

PENULIS ialah doktor perubatan persendirian dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

Wallahu'allam.
Dr Suriya Osman
10 September 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.