This article was published in Wadah Wanita Islam, Berita Harian, Wednesday 12th February 2003 - Norhayati Siddiqah Abu Bakar

Home  


Usah Terperangkap Jerat Cinta Valentine

HAJI adalah ibadat paling agung. Ia adalah manifestasi keimanan seseorang. Puncak ketaatan dan pengorbanan seorang hamba kepada Tuhannya. 

Sabda Nabi Muhammad saw: "Haji adalah jihad paling besar" 

Jihad membawa erti pengorbanan iaitu yang dilakukan semata-mata kerana cintakan Allah. Mereka  mengorbankan harta yang banyak, masa panjang, kerehatan yang tidak sedikit dan perasaan sayang meninggalkan tersayang ketika melangkah ke Baitul Allah. Peluang untuk menjadi tetamu Allah ini hanya sekali seumur hidup. 

Haji pertama dan wajib ini dijaga dan diperlakukan bersungguh-sungguh dengan tenaga lahiriah. Ia juga disertai dengan keimanan dan ketakwaan penuh keikhlasan dan kesabaran serta menuntut keredaan Allah.

Idamannya ialah haji mabrur, diterima, diberi ganjaran pahala dan dijaminkan syurga dan bukan haji mardud, ditolak, menjadi sia-sia dan kerugian semata-mata. 

Berapa ramaikah kita menghayati, merai, mengamal dan merasakan roh ibadat haji dan korban seperti yang dilakukan oleh tetamu Allah di bumi Makkah.

Sesungguhnya penyembelihan korban adalah sunnat muakkad bagi yang mampu dan wajib jika dinazarkan.

Kebetulan pula pada bulan haji ini, ada pula satu hari pada Februari yang ditunggu dan akan turut disambut oleh segolongan Islam di seluruh dunia. Ia adalah budaya yang semakin popular dan kian menular dalam masyarakat Islam Malaysia iaitu Hari Kekasih atau Hari Valentine. 

Pada tahun ini, 14 Februari akan jatuh bertepatan pada Jumaat bersamaan 12 Zulhijah atau Hari Tasyrik kedua. Ketika Allah meraikan berjuta-juta tetamu-Nya di Mina bagi menyempurnakan ibadat melontar di tiga Jumrah, maka pada masa sama sibuk juga pasangan kekasih (tidak kira tua atau muda) memperbaharui ikrar cinta mereka, yang kadang kala terkeluar daripada syariat.

Jika ibadat melontar ini diwajibkan Allah ke atas jemaah haji bagi memperingati bagaimana Nabi Ibrahim pernah melontar syaitan yang cuba menggagalkan kesempurnaan ibadatnya kepada Allah, pada masa sama syaitan berlumba-lumba menyesatkan iman anak-anak Adam pada hari kekasih ini.

Ketika Nabi Ismail menyerahkan lehernya untuk dikorbankan tanda kepatuhan kepada Allah. Pada masa sama atas nama cinta juga ramai pasangan kekasih yang sanggup mengorbankan maruah diri dan agama atas nama cinta.

Ia seolah-olah satu hari yang amat penting. Pada hari ini, lafaz kasih-sayang diucapkan dan diperbaharui. Amat malang, jika sambutan ini turut diraikan oleh pasangan Islam yang belum diijabkabulkan. 

Persoalannya adakah perasaan cinta, kasih dan sayang yang dilafazkan pada hari itu benar-benar ikhlas dan paling penting menepati tuntutan syariah? 

Sayang menyayangi adalah fitrah semua insan. Perlu diingati bahawa silaturahim dalam Islam adalah diutamakan. Penerapan nilai kasih sayang dalam Islam adalah menyeluruh, tidak hanya sesama insan malah seluruh isi alam.

Mungkin kepada ibu yang mempertaruhkan nyawa melahir dan bersengkang mata saban malam menjaga anak yang kesakitan. Atau kepada ayah yang saban hari mencari rezeki hingga sanggup meredah lautan bergelora mencari sesuap nasi buat keluarga di rumah _ tidak salah jika kita ingin menyata dan membuktikan kasih sayang kepada seseorang yang disayangi. Tetapi mestilah menepati batas yang diajar Islam.

Dalam sejarah kita pernah diceritakan mengenai seorang musafir yang dijanjikan syurga hanya kerana sifat kasihannya terhadap seekor anjing kehausan. 

Beralaskan kasutnya, dia menceduk sedikit air dan memberikannya kepada anjing itu. Alangkah tingginya nilai kasih sayang yang tersemai di jiwanya. Kasih sayang bukan boleh diukur seperti berapa bintang hotel yang dijejaki atau berapa kuntuman mawar merah yang diberi, tetapi ia adalah ukuran di antara perasaan ikhlas dan jiwa murni.

Kerana sifat kasih sayang inilah rasul sanggup dihina serta menghadapi pelbagai rintangan ketika menyampaikan dakwah kepada umat mereka. Kerana sifat kasih sayang inilah Allah sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Tanpa sifat ini juga kita melihat pihak yang berkuasa sanggup menindas puak yang lemah. Negara yang kaya dan gagah sanggup melancar 
serangan ke atas negara yang miskin dan lemah.

Namun budaya mengeratkan kasih sayang pada Hari Kekasih atau Hari Valentine bukan budaya Islam dan tiada hubungan langsung dengan ajarannnya. 

Menurut sejarahnya, Valentine atau Valentino adalah seorang paderi Kristian yang sangat berpengaruh dan giat menyebarkan ajaran Kristian di Rom. Raja Rom Claudius II memenjarakan penganut Kristian yang tidak sealiran agama dengannya termasuk Valentine. Meskipun dalam penjara, Valentine tetap menyebarkan agamanya kepada banduan.

Kegiatan ini akhirnya diketahui oleh Raja Rom. Lalu diperintahkan diseksa dan dibunuh pada 14 Februari 296 Masihi. Orang Kristian menganggap paderi ini sebagai orang yang mulia, sanggup berkorban dan mati kerana mempertahankan agama Kristian. Justeru besarnya pengorbanan Valentine beliau diberi gelaran Saint atau St. Pada 350 Masihi sebuah gereja dibina berhampiran kuburnya, dari sumber lain pula, didapati ketika dalam penjara Valentine jatuh cinta dengan seorang anak pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum dibunuh Raja Claudius II memberi dua pilihan. Meninggalkan agama Kristian atau dibunuh. Namun beliau lebih rela dibunuh tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis itu dengan menurunkan tandatangan "From Your Valentine."

Sejak peristiwa itu orang Kristian mengambil sempena 14 Februari setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati kematian St Valentine _ idola mereka.

Jadi adakah wajar kita sebagai Islam turut merayakan hari itu? Tambahan pula pada tahun ini, ia jatuh pada hari Tasyrik iaitu pada hari kita masih lagi dituntut melafazkan takbir dan tahmid tanda membesar dan mengagungkan Allah, di samping melakukan penyembelihan korban.

Kepada pasangan kekasih sayugia diingatkan janganlah sampai sanggup melakukan korban untuk perkara keji dan mungkar. Usahlah terdera dalam jerat percintaan sesungguhnya kembalilah kepada tatacara yang Islam gariskan.

PENULIS adalah sukarelawan dakwah dan boleh dihubungi di e-mel wadah_wjy2k@yahoo.com

Wallahu'allam.
Norhayati Siddiqah Abu Bakar
12 February 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.