This article was published in Wadah
Wanita Islam,
Berita Harian, Wednesday 30th April 2003 - Muzdalifah Mokhtadi
SABAN hari ada
saja masalah disiplin pelajar. Pengetua atau guru besar banyak membuang masa untuk
menyelesaikan masalah disiplin pelajar mereka. Selesai satu masalah akan timbul pula
masalah lain.
Anak berusia di antara 10 hingga 15 tahun, khususnya akan sentiasa memerhatikan
persekitaran mereka. Contohnya, mereka meneliti tindak-tanduk ibu bapa mereka, program
televisyen, perangai manusia di luar rumah seperti jiran, rakan dan guru di sekolah. Tidak
ketinggalan gelagat insan di sepanjang perjalanan dari rumah ke sekolah.
Golongan remaja ini sentiasa mencari role model atau teladan yang akan mereka
ikuti.
Persoalan pertama, adakah anak ini memahami tujuan mereka dilahirkan? Untuk apa dilahirkan
dan ke manakah akhirnya hidup mereka? Di manakah peranan ibu bapa sebagai pendidik pertama
?
Adakah anak-anak diberikan garis panduan untuk bekalan sepanjang hidup mereka? Anak-anak
tidak selamanya berada di sisi ibu bapa mereka. Ini kerana mereka akan keluar bersama
mereka atau melakukan kegiatan seharian lain, seperti bekerja.
Persoalan kedua, adakah guru yang berhadapan dengan murid dari jam 7.30 pagi hingga 1.30
petang menjalankan peranan mereka dengan bijaksana? Tidakkah anak-anak ini akan bosan
dengan beban kerja sekolah, di samping guru yang kurang berinteraksi dengan muridnya?
Guru yang berkesan dapat menghabiskan sukatan pelajaran dan membantu murid membuat
persediaan bagi mencapai kejayaan dalam hidup. Adakah kejayaan hanya dilihat dari
keputusan cemerlang dalam peperiksaan? Sekiranya anak itu tidak cemerlang dalam pelajaran
adakah mereka akan gagal dalam hidupnya?
Persoalan ketiga, adakah masyarakat prihatin masih lagi wujud?
Bagaimanakah sensitifnya masyarakat untuk menegur anak jiran yang membuat kesalahan. Sikap
biarlah anak orang lain yang rosak, asalkan anak kita selamat, perlukah diteruskan?
Sepatutnya kita tidak menyalahkan sesiapa sekiranya anak-anak ini tersalah memilih contoh
role model mereka.
Usaha berterusan tanpa jemu akan menghasilkan natijah yang baik sama ada melalui peranan
ibu bapa, guru atau masyarakat yang memahami tanggungjawab melahirkan pelapis masyarakat
cemerlang sama ada dari segi jasmani, rohani atau emosi.
Sebagaimana firman Allah bermaksud: Beramallah kamu, sesungguhnya Allah akan melihat
amal kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara ghaib dan
nyata. Maka (Allah) akan memberitahu kamu apa yang kamu kerjakan. (Surah at-Taubah,
ayat 105)
Setiap usaha yang dilaksanakan dengan rasa penuh bertanggungjawab akan menghasilkan insan
yang saling menghormati di antara satu sama lain. Ia juga melahirkan rasa kasih sayang dan
persaudaraan kental di jiwa orang yang terbabit sama ada anak, ibu bapa, guru atau
masyarakat.
Seperti kata Imam Hassan al-Banna: Berkasih sayanglah sesama kamu dan peliharalah
persaudaraan (ukhuwwah) kerana ia rahsia kekuatan dan kemenangan kamu. Hendaklah kamu
berterusan dalam demikian, sehingga Allah datangkan kemenangan bagi kamu dan agamamu.
Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi kemenangan.
Sebagai seorang pendidik, sama ada ibu,bapa, penjaga, guru atau masyarakat yang prihatin,
seharusnya mempunyai ciri seorang pendidik sebenar iaitu:
l Sifat ikhlas terhadap Allah dalam segala amal pendidikan sama ada perintah, larangan,
nasihat, perhatian atau hukuman daripada Allah.
Setiap pendidik yang menjalankan tanggungjawab perlu menunjukkan setiap kerja yang
dilakukannya hanya kerana Allah.
l Sifat takwa iaitu, bimbang akan seksaan Allah secara rahsia dan terang-terangan. Jika
ini diabaikan, maka tiada syak lagi kanak-kanak akan membesar dalam penyelewengan dan dia
akan berulang-alik kepada kumpulan perosak dan kejahilan.
l Sifat sayang kepada ilmu pengetahuan iaitu mengetahui dan mengenali dasar pendidikan
yang ditunjukkan dalam syariat Islam.
Ini kerana ilmu yang ada dapat membantu meletakkan setiap perkara pada tempatnya.
l Suka memaafkan kerana sifat ini akan menarik anak-anak kepada pendidik dan dengan sebab
itu, anak akan menyambut kata-kata dan perintah pendidiknya.
Sifat ini dapat meletakkan manusia di kemuncak adab dan kesempurnaan serta di tingkat
tinggi dalam strata sifat budi pekerti.
l Sifat tanggungjawab yang besar dalam mendidik anak dalam segi keimanan dan kelakuan,
membentuknya dalam segi jasmani dan rohani serta menyediakannya dalam segi mental dan
sosial.
Pendidik hendaklah selalu bimbang jika dia melalai atau mencuaikan tanggungjawabnya. Ini
kerana perbuatan demikian, pasti membuat anak itu akan terjebak ke dalam kerosakan sikit
demi sikit dan selangkah demi selangkah.
PENULIS adalah guru
siswazah dan boleh dihubungi di wadah_wjy2k@yahoo.com
Oleh Muzdalifah
Mokhtadi
The
information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes,
beliefs and views unless being stated otherwise.