Paradigma Dr Danial


Siri 11    Siri 12   Siri 13   Siri 14   Siri 15    Siri 16   Siri 17   Siri 18   Siri 19    Siri 20


Paradigma 11                    Top

Soalan:

Dr. Danial, bolehkah ibadah Haji membina keunggulan umat Islam?

Jawapan:

Sudah pasti, insya Allah. Terlampau banyak hikmah yang boleh diambil dari ibadah Haji tetapi cukuplah dengan saya fokuskan kepada tiga aspek sahaja.

-    Aspek Globalisasi Akidah Dan Takwa.

-    Aspek Pengorbanan.

-    Aspek Kemuliaan Wanita.

Allah berfirman: "Beritahulah kepada manusia untuk mengerjakan haji dan mereka pasti akan datang dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan dari negeri-negeri yang jauh.." (Al-Haj ayat 27)

Perhimpunan Tahunan di Mekah dihadiri oleh umat Islam dari seluruh dunia. Perpaduan, keselarasan serta pembinaan kekuatan berasaskan akidah dan takwa dapat dibina jika perhimpunan ini benar-benar dimanfaatkan.

Perhimpunan ini menunjukkan, agama Islam bukanlah agama yang diturunkan untuk bangsa dan golongan tertentu, sebaliknya risalahnya adalah untuk seluruh manusia. Konsep kesejagatan ini di manifestasikan melalui ibadah haji yang menghimpunkan umat Islam dari seluruh pelosok dunia di Mekah. Kesedaran dan

kekuatan yang diperolehi dari perhimpunan ini dapat dijadikan titik tolak kepada usaha untuk mengglobalisasikan akidah dan takwa.

Di Mekah, umat Islam diingatkan tentang pengorbanan dan perjuangan keluarga Nabi Ibrahim as di dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah. Kisah berhubung kesanggupan Nabi Ibrahim as menyembelih anaknya Ismail as semata-mata untuk menyahut perintah Allah diulang-ulangi, kerana ia

melambangkan manifestasi iman dan pengorbanan yang amat tinggi yang perlu dicontohi. Untuk mencapai hasanah di dunia dan akhirat, pengorbanan amat diperlukan.

Bagi wanita Islam pula, mereka diingatkan tentang engorbanan Siti Hajar. Beliau sanggup berkorban walaupun ditinggalkan suami di bumi Mekah bersama-sama dengan anak beliau yang bernama Ismail as, semata-mata untuk mencari keredaan Ilahi. Sikap tidak mengenal putus asa ketika mencari air untuk diberikan kepada anak, melambangkan peribadi yang cekal serta bermotivasi tinggi. Apabila umat Islam melakukan sai dari Safa ke Marwah, mereka sebenarnya sedang diingatkan tentang pengorbanan dan kecekalan Siti Hajar. Berhubung dengan ini, Imam Ibn Kathir meriwayatkan pandangan sahabat Abdullah ibn Abbas ra: "(Amalan sai dari Safa ke Marwah) pada asalnya

dikaitkan dengan kejadian yang berlaku ke atas Siti Hajar. Ketika mencari air untuk anaknya, beliau telah berlari berulang alik dari Safa ke Marwah dengan hati yang tunduk, khusyuk serta mengharapkan rahmat Ilahi.  Akhirnya Allah menganugerahkan air zamzam sebagai makanan dan minuman malah sebagai ubatan kepada beliau.."

Hal ini menampakkan tentang kecantikan ajaran Islam yang telah menaikkan taraf wanitanya, sehingga menjadikan pengorbanan seorang wanita sebagai simbol yang dikaitkan dengan ibadah haji. Konsep pengorbanan dan kecekalan

Siti Hajar ini perlu dicontohi dan diglobalisasikan di seluruh dunia.

Ibadah Haji yang dilaksanakan dengan kefahaman dan roh yang betul dapat membina keunggulan umat sejagat. Konsep perpaduan dan kesejagatan yang berasaskan akidah dan takwa telah menjadikan umat Islam satu kuasa besar yang menguasai dunia selama lebih kurang satu alaf sebelum ini. Apabila penjajah datang, umat Islam dipecahkan dan dipisahkan mengikut sempadan geografi masing-masing dan mulai saat itu lahirlah semangat kebangsaan sempit di jiwa umat Islam sehingga mereka terlupa kepada agenda perjuangan yang lebih besar. Jiwa dan sempadan sempit inilah yang mereka bawa ke Mekah ketika melaksanakan ibadah Haji hari ini sekaligus menutup peluang kepada satu lonjakan yang bersepadu untuk mengglobalisasikan akidah dan takwa.

(Untuk perincian sila dapatkan buku Dr. Danial "Empayar Minda Muslim: Modul Tarbiyah Bagi Alaf Ketiga")

10 February 2003


Paradigma 12                    Top

Soalan:

Dr. Danial, apakah perjuangan golongan antihadis satu perjuangan yang hak?

Jawapan:

Fahaman Anti-Hadis atau Ingkar As-Sunnah di asaskan oleh Profesor Goldziher, seorang Yahudi dari Hungary, pada tahun 1870. Goldziher mendapat biasiswa Zionis Internasional Jerman untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Azhar  pada tahun 1873. Pada tahun 1876 sekembalinya beliau dari Mesir, beliau menjawat jawatan Setiausaha Zionis Internasional cawangan Budapest. Pengasas ajaran Ingkar As-Sunnah ini telah mengarang hampir 200 karya di dalam jurusan Ingkar As-Sunnah dan di antara anak muridnya yang dari Mesir ialah Dr. Ali Hasan Abdul Kadir, Toha Hussin, Dr. Ahmad Amin, Rasyad Khalifa, dan Dr. Abu Rayyah.

Gerakan Anti Hadis kemudiannya bertapak di Amerika Syarikat di sekitar tahun enam puluh dan tujuh puluhan. Ia dikembangkan oleh seorang berketurunan Mesir yang dikenali sebagai Dr. Rashad Khalifa. Beliau kemudiannya mendapat kerakyatan Amerika dan pernah membentangkan satu kertas kerja bertajuk 'Islam: Masa Lampau, Kini dan Masa Depan' di seminar yang dianjurkan oleh penggerak agama Kristian dan Yahudi pada bulan Jun, 1983 di Amerika. Tidak berapa lama selepas itu Dr. Rasyad Khalifa menubuhkan secara rasmi sebuah pertubuhan yang bernama The Quranic Society yang berpusat di Tucson, Amerika. Pada suatu ketika Dr. Rasyad Khalifa pernah berkata, "mempercayai hadis bermakna mempercayai omongan iblis."

Di Malaysia, golongan Anti-Hadis diasaskan oleh Dr. Kassim Ahmad yang dilahirkan di Baling, dibantu oleh pengikutnya, Othman Ali. Beliau terpengaruh dengan Dr. Rashad Khalifa dan pada tahun 1985 telah mengembangkan kefahaman anti-hadis di Malaysia. Dr. Kassim Ahmad pernah menulis sebuah buku yang bertajuk 'Hadis Satu Penilaian Semula' dan buku ini telah diharamkan oleh Pusat Islam. Beliau kemudiannya cuba menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai Jemaah Al-Quran Malaysia tetapi permohonannya ditolak oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Ajaran anti-hadis yang dibawa oleh Dr. Kassim Ahmad ini telah diharamkan mengikut keputusan Muzakarah Mufti-Mufti Negeri pada 6 September, 1995.

Sejarah menunjukkan tidak ada seorang tokoh Muslim pun dari generasi yang awal yang menolak As-Sunnah sebagai sumber hukum. Sebagai golongan yang awal pendirian mereka amat relevan kerana mereka hidup di bawah naungan sistem Islam yang diwarisi dari zaman Rasulullah. As-Sunnah ketika itu tidak hanya dijadikan panduan oleh individu-individu malah ia merupakan panduan dan rujukan di peringkat Negara Islam terutamanya di zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin yang memakan masa lebih kurang 30 tahun. Tidak ada sebarang pertelingkahan berhubung As-Sunnah sebagai sumber hukum ketika itu. Di dalam kitab A'lamul Muwaqqi'in, Imam Ibn Qayyim berkata:

"Apabila (Abu Bakar) hendak memutuskan sesuatu hukum beliau akan mencari ketentuannya di dalam Al-Quran. Apabila tidak ditemui ketentuan itu di dalam Al-Quran beliau akan mencarinya di dalam Sunnah Ar-Rasul. Sekiranya masih belum ditemui, beliau akan bertanya kepada sahabat-sahabat Nabi yang pernah mengetahui ketentuan yang telah diambil oleh Baginda berhubung kes seumpama itu. Jika masih belum ditemui ketentuannya, beliau akan menghimpunkan tokoh-tokoh sahabat untuk bermusyawarah dengan mereka."

(Untuk perincian sila dapatkan buku Dr. Danial "Empayar Minda Muslim: Modul Tarbiyah Bagi Alaf Ketiga.")

17 February 2003


Paradigma 13                    Top

Soalan:

Dr. Danial...Saya minta Dr. elaborate di sini mengenai Tabarruj Al Jahiliyah... Apakah ciri-cirinya? Contoh-contoh manifestasinya di dalam masyarakat sekarang ini.

Jawapan:

'Tabarrujul jahiliah' berkait rapat dengan adab di dalam pemakaian dan pergaulan. Allah berfirman: "Dan hendaklah kamu tetap di rumah mu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah terdahulu..." (Al-Ahzab ayat 33)

Berhubung dengan ayat ini, Imam Mujahid berkata: "Suatu ketika dahulu, golongan wanita berjalan di hadapan lelaki (tanpa segan silu). Inilah yang dimaksudkan sebagai tabarrujul jahiliah." Imam Qatadah pula berkata: "Suatu ketika dahulu, kaum wanita berjalan di hadapan lelaki dengan gaya yang mengghairahkan. Inilah yang dimaksudkan dengan tabarrujul jahiliah yang terdahulu". Imam Muqatil bin Hayyan pula berkata: "Tabbaruj berlaku apabila kaum wanita menutup kepala mereka dengan kain tudung tetapi masih mendedahkan leher, rantai dan subang mereka".

Ayat ini tidak bermaksud untuk mengongkong pergerakan wanita Islam. Ia juga tidak bermaksud, tempat bagi kaum wanita hanyalah di dalam rumahnya sahaja kerana Nabi s.a.w pernah mendoakan agar Ummu Haram ra dapat keluar berperang di lautan bersama-sama dengan tentera-tentera Islam yang lain. Tambahan dari itu, Khalifah Omar Al-Khattab ra pernah melantik seorang wanita yang bernama Ummu Al-Syifa binti Abdullah menjadi penyelia di pasar Madinah. Islam mengizinkan wanitanya keluar rumah untuk suatu keperluan yang baik, seperti mencari ilmu sama ada yang fardu ain atau fardu kifayah, menziarahi ibu bapa serta mencari rezeki yang halal demi memenuhi keperluan hidup, dengan batas-batas yang telah ditetapkan. Ayat ini sebenarnya bertujuan untuk memuliakan kaum wanita dan menyuruh mereka agar sentiasa menjaga kemuliaan itu di samping memelihara sebarang kelebihan yang Allah kurniakan kepada mereka, seperti kecantikan. Wanita sebenarnya mempunyai peranan yang besar di penjurunya sebagaimana kaum lelaki. Allah berfirman: "Orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka adalah penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh kepada yang makruf, mencegah kemungkaran, mendirikan solat, menunaikan zakat serta mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah ayat 71)

Menutup aurat bukannya lambang penindasan bagi wanita sebaliknya lambang ketinggian harga diri yang tidak dipentingkan oleh wanita jahiliah. Beberapa golongan di Barat mula mengagumi ajaran Islam berhubung dengan wanitanya. Sebagai contoh, R. Stevenson telah menulis di dalam Toronto Star bertarikh 23 Januari, 2002 berhubung dengan etika pemakaian wanita Islam. Beliau berkata: "Ketika saya dan rakan-rakan sedang makan malam di sebuah restoran, kami duduk bersebelahan dengan tiga orang wanita muda. Tiba-tiba masuklah dua orang wanita Islam dengan pakaian yang agak konservatif dan duduk bersebelahan dengan mereka. Kami dapat mendengar ketiga-tiga wanita tadi berbisik-bisik sesama sendiri berhubung kedua-dua wanita Islam itu: 'Mengapa mereka berpakaian seperti itu...? Saya bersimpati dengan mereka......!' Ketiga-tiga wanita (Barat) itu akhirnya membayar bil dan terus beredar. Mereka memakai seluar yang ketat, skirt yang singkat, kasut bertumit tinggi, gincu yang tebal dan bahagian dada mereka didedahkan secara yang mengghairahkan. Kami alihkan pandangan kami kepada kedua-dua wanita Islam tadi. Tudung mereka yang hitam menzahirkan peribadi mereka yang bersopan santun. Gaya mereka nampak asli. Pakaian mereka, walaupun konservatif, menampakkan sifat kewanitaan yang indah.... Selepas kami berbincang tentang isu ini, kami dapati, wanita-wanita Islam berjaya membebaskan diri mereka dari perangkap fesyen tanpa perlu menunjuk-nunjuk, bersaing, berbelanja lebih dan berdiet untuk menarik perhatian kaum lelaki atau wanita. Kami dapati kedua-dua wanita Islam itu lebih menarik jika dibandingkan dengan ketiga-tiga wanita Barat tadi....."

Perubahan sikap serta peranan wanita pada hari ini telah memberi kesan negatif kepada masyarakat. Wanita moden didapati lebih cenderung untuk melakukan jenayah dan keganasan berbanding dengan zaman sebelum ini, mengikut satu kajian yang dilakukan oleh pihak Federal Bureau of Investigation (FBI) di Amerika. Mengikut akhbar Daily Telegraph, London, bertarikh 16 September 1971, ramai pakar berpendapat peningkatan kes jenayah di kalangan kaum wanita ini disebabkan oleh penagihan dadah dan peranan wanita yang semakin berubah pada hari ini.

Tabarrujul jahiliah telah sampai ke tahap yang amat membimbangkan pada hari ini. Pergaulan dan aktiviti seks bebas telah menjadi satu industri besar yang mencengkam masyarakat yang dikatakan maju pada hari ini. Laporan oleh Inter Press Service bertarikh 19 Ogos, 1998 menunjukkan, 2-14% dari kemasukan kasar negara-negara di Asia Tenggara adalah dari industri seks, mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Berdasarkan kajian ini industri pelacuran di Thailand dianggarkan mendatangkan kemasukan sebanyak $22.5-$27 bilion dari tahun 1993-1995, dan di Indonesia jumlahnya dianggarkan $1.2-$3.3 bilion setahun. Mengikut satu anggaran yang dilaporkan di dalam Global Child Health News bertarikh 4 Julai 1995, lebih kurang 10% daripada wanita di Thailand terlibat di dalam industri ini. Di Amerika pula, USA Today bertarikh 20 Ogos, 1997 melaporkan, rakyat Amerika membelanjakan wang sebanyak $8-$12 bilion untuk membeli dan melanggan bahan-bahan lucah.

Tabarrujul jahiliah yang melahirkan seks bebas ini mempunyai padahnya. Ia menjadi salah satu sebab utama penyakit AIDS berkembang sehingga menjadi wabak yang tidak dapat dikawal lagi pada hari ini. HIV/AIDS menjadi pembunuh yang keempat terbesar di dunia dewasa ini. Pada akhir tahun 2001, dianggarkan 40 juta manusia di seluruh dunia dijangkiti kuman ini dan satu pertiga daripada mereka berumur di dalam lingkungan 15-24 tahun. Kesannya ke atas sistem ekonomi, sosial dan kekeluargaan tidak terkira besarnya. Seks ada mukadimah atau rangsangannya dan mukadimah itu ialah tabarruj (menghiaskan diri secara yang menggiurkan), pergaulan bebas serta sikap ego kaum lelaki. Justeru Islam menyuruh kaum wanita memelihara dirinya dari kecantikan yang memperdayakan dan menyuruh kaum lelaki untuk tidak melihat kaum wanita sebagai simbol seks. Allah berfirman: "Katakanlah kepada kaum lelaki dari golongan yang beriman: hendaklah mereka mengawal penglihatan mereka dan menjaga kehormatan kemaluan mereka." (An-Nur ayat 30)

(Untuk perincian sila dapatkan buku Dr. Danial "Empayar Minda Muslim: Modul Tarbiyah Bagi Alaf Ketiga" Terbit Mac 2003 oleh PTS Publication.)

1 March 2003


Paradigma 14                    Top

Soalan:

Dr. Danial... Umat Islam diizinkan mengambil hukum kelonggaran ketika berlaku darurat. Apa maksud darurat?

Jawapan:

Keadaan darurat ada definisi dan perinciannya. Imam Qartubi berpendapat, “darurat biasanya berkaitan dengan paksaan oleh golongan zalim agar kita melakukan sesuatu. Ia juga berkaitan dengan kelaparan di saat kebuluran.” Imam Fakhrul Razi pula berpendapat, “darurat mempunyai dua sebab, pertama, kebuluran yang bersangatan tanpa mendapati sebarang makanan yang halal dan kedua, dipaksa untuk melakukan sesuatu.” Imam Ibn Arabi pula berkata, “darurat ialah keadaan dipaksa untuk melakukan sesuatu, suasana kebuluran ataupun kefakiran tanpa memiliki sesuatu.” Ulama Maliki berkata, ”darurat ialah takutkan kehancuran ataupun kematian secara pasti (qat’ii) ataupun berdasarkan andaian yang kuat (zanni). Hukum darurat wujud apabila seseorang mengkhuatiri kehancuran akan menimpa ke atas dirinya berdasarkan andaian yang kukuh, walaupun tidak dapat dipastikan secara seratus peratus.”

Doktor Wahbah Az-Zahili di dalam Nazariah Ad-Darurah As-Syariyah berpendapat, “darurat ialah keadaan yang menimpa ke atas seseorang insan di dalam bentuk keberbahayaan ataupun kesusahan yang mendesak sehingga ditakuti berlakunya kemudaratan ataupun kesakitan ke atas diri, anggota badan, kehormatan, akal, harta benda dan yang sehubungan dengannya. Diharuskan ketika itu mengambil benda-benda yang haram ataupun meninggalkan yang wajib ataupun menangguhkan kewajipan daripada waktunya, semata-mata untuk menolak kemudaratan..”

Di saat berlaku darurat hukum hakam kelonggran boleh diambil itupun berpandukan landasan tertentu yang perlu anda pelajari. Pada hari ini manusia mudah menghukumkan sesuatu keadaan sebagai darurat untuk menghalalkan yang haram. Darurat yang ditafsirkan oleh manusia seperti ini biasanya terbabas dari kehendak syariat yang sebenarnya. Justeru fahamilah roh syariat dengan baik agar kedudukan darurat akhirnya difahami dengan baik.

(Untuk perincian sila baca 'Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden' oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin terbitan PTS Publication pada tahun 2002. Sekarang di dalam cetakan ketiganya.)

3  March 2003


Paradigma 15                    Top

Soalan:

Dr. Danial... Adakah penghuni syurga dari kalangan orang-orang yang beriman sahaja. Yang lain-lainnya 'guarantee' ke neraka?

Jawapan:

Pendapat yang mengatakan syurga adalah ekslusif bagi orang-orang Islam yang beriman sahaja adalah satu pendapat yang salah. Golongan yang berpendapat seperti ini kadangkala dinamakan sebagai golongan 'exclusionist.' Sebenarnya di dalam keadaan tertentu golongan yang tidak beriman juga boleh memasuki syurga. Pendapat seperti ini bukannya baru di dalam Islam. Di dalam kitab Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa, beliau menukilkan pandangan Imam Al-Ghazali berhubung dengan isu ini:

"Imam Al-Ghazali membahagikan manusia yang wujud selepas kebangkitan Nabi s.a.w kepada beberapa golongan. Pertama, mereka yang tidak berkesempatan sama sekali untuk mendengar mesej Islam, maka tempat bagi mereka ialah syurga. Kedua, golongan yang tidak beriman selepas mendengar mesej Islam serta berkesempatan melihat mukjizat yang berlaku di tangan Nabi s.a.w di samping berkesempatan menyaksikan akhlak Baginda yang mulia, maka tempat bagi mereka ialah neraka..... Ketiga, golongan yang menerima mesej Islam tetapi mesej itu dipersembahkan di dalam bentuk yang tidak kukuh dan mantap sekali gus tidak merangsangnya untuk memeluk Islam. Aku berharap tempat bagi golongan ini ialah syurga.."

Justeru, andaikat umat Islam pada hari ini mengabaikan dakwah non-Muslim, atau dakwah yang kita sampaikan tidak mantap sehingga lebih mengelirukan mereka, dengan rahmat Allah mereka akan ke syurga dan jika kita mengabaikan dakwah kepada mereka tidak mustahil kita yang akan ke neraka. Berhubung dengan golongan yang tidak berkesempatan untuk mendengar mesej Islam sama sekali, ada sedikit perincian yang perlu di perjelaskan. Mengikut pendapat Abu Hasan Al-Asyari dan Imam Malik, mereka terselamat dari seksaan Allah di hari akhirat berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Kami tidak akan menyeksa sesuatu kaum sehingga Kami mengutus seorang rasul kepadanya." (Surah Al-Israk ayat 15)

(Untuk perincian sila baca 'Empayar Minda Muslim: Modul Tarbiyah Bagi Alaf Ketiga' oleh Dr. Danial Zainal Abidin)

6 March 2003


Paradigma 16                    Top

Soalan:

Dr. Danial... Saya sering mendengar orang bercakap/berceramah tentang makhluk Jin. Saya tak tahu apa yang perlu saya percaya tentang makhluk ini. Harap bantu saya.

Jawapan:

Jin ialah makhluk Allah yang dicipta terlebih dahulu daripada manusia, dan ia berasal dari api berbeza dari manusia dan malaikat yang berasal dari tanah dan cahaya. Hal ini terdapat kenyataannya di dalam Al-Quran. Allah berfirman:

"Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia (Adam) dari tanah liat kering yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah mencipta jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas." (Surah Al-Hijr ayat 26-27)

Di sudut kejadian, penciptaan manusia adalah lebih sempurna daripada jin, berdasarkan firman Allah:

"Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia di dalam rupa bentuk yang sebaik-baiknya." (Surah At-Tin ayat 4)

Imam Qartubi di dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran mengetengahkan pandangan Ibn Al-Arabi yang berkata:

"Tidak ada bagi Allah makhluk yang lebih sempurna daripada manusia, kerana Allah telah mencipta insan di dalam keadaan hidup, berilmu, mempunyai kudrat, berkehendak, berkata-kata, mendengar, melihat, mampu mentadbir serta mempunyai kebijaksanaan. (Kesemua sifat-sifat ini) pada asalnya ialah sifat-sifat Allah..."

Risalah yang disampaikan kepada golongan jin dan manusia ialah risalah yang dibawa oleh para Rasul. Ulama secara umumnya berpendapat, Allah memilih Rasul-Rasul hanya dari kalangan manusia, dan tidak ada walaupun seorang Rasul yang dipilih dari kalangan jin. Imam Ibn Kathir merumuskan, pendapat ini disepakati oleh Imam Mujahid, Ibn Juraij serta ulama dari kalangan salaf dan khalaf. Berhubung dengan ini, Imam Qartubi di dalam kitab tafsirnya berkata:

"Imam Mujahid berkata: Rasul-Rasul yang diutus Allah dipilih hanya dari kalangan manusia sedangkan dari kalangan jin yang wujud hanyalah pemberi peringatan (nuzur). Pendapat ini selari dengan pandangan sahabat Abdullah ibn Abbas dan ini merupakan pendapat yang sahih..." Dalil yang digunakan untuk menguatkan hujah ini ialah ayat Quran yang terdapat di dalam surah Al-Ahqaf.

Salah satu persoalan yang sering ditanya ialah, boleh kah kita bersahabat dan menjadikan jin sebagai khadam kita? Berhubung dengan ini, di dalam kitab Bahr Al-Mazi disebutkan:

"Telah berkata Zabidi ra: Tidak harus bagi seseorang menggunakan bantuan jin untuk menyempurnakan hajatnya... dan tidak harus untuk menerima khabar darinya termasuk yang berkaitan dengan perkara yang ghaib dan yang seumpamanya..."

(Untuk perincian sila baca 'Empayar Minda Muslim: Modul Tarbiyah Bagi Alaf Ketiga' oleh Dr. Danial Zainal Abidin)

12 March 2003


Paradigma 17                    Top

Soalan:

Dr. Danial... Golongan Kristian di internet mengatakan bumi mengikut Al-Quran adalah mendatar sedangkan mengikut fakta sains adalah bulat. Tidakkah ini menunjukkan Al-Quran tidak selari dengan sains? Thanks

Jawapan:

Terjemahan Al-Quran kadangkala memberikan satu gambaran yang salah tentang maksud firman Allah yang sebenarnya. Untuk memahami maksud sebenar Al-Quran kita perlu faham bahasa Arab dengan baik kerana Al-Quran diturunkan di dalam bahasa Arab. Salah satu kalimat penting di dalam Al-Quran yang menunjukkan bahawa bumi dan cakerawala di angkasa raya adalah bulat ialah falak. Sebagai contoh, di dalam surah Al-Anbiya ayat 33 Allah berfirman:

"Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Kesemuanya beredar di dalam falaknya."

Ayat ini menjelaskan, malam, siang, matahari dan bulan, beredar di dalam falaknya masing-masing seperti yang ditetapkan Allah. Sahabat Abdullah ibn Abbas berpendapat, cakerawala di langit "beredar di dalam bulatan sebagaimana beredarnya rahat ketika menggulung benang". Hal ini telah disebutkan di dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim karangan Imam Ibn Kathir. Mengikut Kamus Dewan, rahat ialah satu alat bulat seumpama roda yang digunakan untuk menggulung benang. Justeru Abdullah ibn Abbas sejak dari awal lagi mengatakan cakrawala adalah bulat serta berpusing dan bergerak.  Seperkara yang menarik berhubung dengan ayat ini ialah, Allah mengatakan, malam dan siang juga beredar di dalam falaknya, seperti matahari dan bulan.

Ini menunjukkan, perubahan malam dan siang adalah di dalam bentuk bulatan dan perkara ini tidak mungkin berlaku melainkan jika bumi adalah bulat kerana malam dan siang adalah fenomena yang berlaku di muka bumi. Berdasarkan ini, As-Syeikh Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir berkata:  

"Ayat ini menunjukkan bahawa bumi adalah bulat dan Al-Quran menjelaskan tentang hal ini sebelum teori kebulatan bumi menjadi satu hakikat yang dipegang umum. Inilah satu di antara banyak mukjizat yang terdapat di dalam Al-Quran."

Sebenarnya pendirian bahawa bumi adalah bulat merupakan satu pendirian yang disepakati oleh tokoh-tokoh Islam diperingkat awal. Hal ini disebutkan di dalam kitab Majmuul Fatawa, jilid keenam. Kitab ini menegaskan, kesemua cakerawala termasuk bumi adalah bulat dan ia merupakan pendirian ulama seperti Abul-Hasan ibn Al-Manaadi, Abu Muhammad ibn Hazm, Abul-Faraj ibn Al-Jawzi dan ramai lagi, berdasarkan kalimat falak di dalam bahasa Arab yang bermaksud bulat. Lebih dari itu, kalimat falak sering kali digunakan bagi sesuatu yang bulat seperti bola atau sfera. Berhubung dengan pendirian bumi adalah bulat seperti sfera, Imam Abu Ya'la di dalam kitab beliau Tabaqatal Hanabilah menegaskan, pendapat ini telah menjadi ijmak di kalangan ulama Islam. Justeru, tohmahan golongan Kristian ini berniat jahat terhadap Islam. Sebenarnya mereka melakukan ini bertujuan untuk menutup kelemahan mereka kerana Bible dengan jelas mengatakan bumi adalah mendatar....... Sebenarnya ilmu adalah kekuatan!

(Untuk perincian sila baca 'Empayar Minda Muslim: Modul Tarbiyah Bagi Alaf Ketiga' oleh Dr. Danial Zainal Abidin)

17 March 2003


Paradigma 18                    Top

Soalan:

Dr. Danial, benarkah ada perkaitan di antara penyakit SARS dengan babi?

Jawapan:

Babi adalah binatang yang amat berbahaya. Di dalam Journal of Virology 1997, dilaporkan kajian yang dilakukan oleh 12 orang pakar-pakar sains yang dipimpin oleh Dr. Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin. Penemuan mereka jelas menunjukkan, pada kerongkong babi terdapat sel-sel tertentu yang mampu mengubah pelbagai kuman virus kepada bentuk yang berbahaya kepada manusia. Pakar-pakar sains menganggap babi sebagai mixing vessel atau tempat pelbagai kuman dikumpulkan untuk diubah kepada bentuk yang berbahaya. Mengikut kajian itu juga, virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia akan bertukar menjadi kuman yang berbahaya yang menjangkiti manusia, selepas memasuki sel-sel di dalam babi ini. Pendapat ini diperkukuhkan oleh Dr. Virginia Hinshaw, Dekan di Graduate School Universiti Wisconsin-Madison yang berkata, virus sentiasa berubah kepada bentuk yang lain dan babi merupakan satu takungan yang mampu mengubah virus flu kepada bentuk yang lain itu. Yang membimbangkan ialah, sistem pertahanan manusia tidak mampu menangkis serangan dari virus-virus ini.

Pada bulan Ogos 1997, saintis-saintis dari Australia menemui satu lagi virus baru yang menjangkiti babi sebelum menyerang manusia. Ia amat berbahaya kepada manusia dan belum pernah ditemui sebelum ini dan dikenali sebagai virus Menangle dari kumpulan Paramyxovirus. Secara umumnya, sejak tahun 1997, saintis-saintis telah menemui beberapa kuman virus keluaran babi yang boleh menjangkiti manusia. Kuman-kuman ini belum pernah ditemui sebelum ini, di antaranya ialah:

Porcine Torovirus.
Porcine Rotavirus (Variant 4F).
PRRS (Porcine Reproductive and Respiratory Syndrome Virus).
H3N2 Swine Flu Virus.

Kuman PRRS (rujuk di atas) membunuh babi dengan cara menyerang sistem pernafasannya. Hal ini adalah sama dengan SARS yang menyerang manusia sekarang. Justeru ramai saintis merumuskan kuman coronavirus yang dikaitkan dengan SARS sekarang berkemungkinan ada perkaitan dengan virus PRRS ini. Cuba perhatikan kenyataan-kenyataan yang dimuatkan di bawah ini untuk lebih terperinci:

Dari Time Asia Online, 7 April, 2003, bahagian Health, 'The Breeding Grounds' dilaporkan: "Pigs are particularly dangerous, because they can be infected by human viruses and those from animals such as rodents and fowl, making them the most potent mixing vessels in which pathogens can mutate and jump from animal species to humans. It's no surprise, then, that southern China is thought to have been ground zero for the deadly SARS virus. For centuries, Guangdong province has had the world's largest concentration of humans, pigs and fowl living in close proximity, explaining why many influenza outbreaks can be traced back to that region." ("Babi adalah berbahaya disebabkan virus-virus boleh berubah di dalamnya kepada bentuk yang membunuh manusia. Berabad-abad lamanya babi dan binatang ternakan seperti itik dan ayam di daerah Guangdong diternak di tempat yang sama dan ini dapat menjelaskan mengapa wabak-wabak flu seringkali berpunca dari situ." - Time Asia Online)

Dalam Globe and Mail, April 11, 2003 di bawah tajuk 'Asians No SARS Risk, PM Says,'
(http://www.recomnetwork.org/articles/03/04/12/013209.shtml) Gloria Galloway melaporkan: "A team of German researchers said the new pathogen is only distantly related to known coronaviruses. A second team of international researchers also revealed a tantalizing clue about the origins of SARS: They found that the new human coronavirus behaves in a manner almost identical to a coronavirus that caused an outbreak of respiratory disease among pigs in China. This suggests the pathogen crossed the species barrier from pigs to humans. The researchers also suggested the new virus be named Urbani SARS-related coronavirus, in honour of Carlos Urbani, the Italian doctor credited with spotting the outbreak, who died of SARS." (Pakar-pakar antarabangsa mendapati kuman coronavirus SARS bertindak lebih kurang sama dengan kuman virus yang menyebabkan penyakit pada sistem pernafasan babi di China. Justeru, besar kemungkinan sumber virus SARS yang menyerang manusia adalah dari babi" - Toronto Globe and Mail)

BBC News, 3 April, 2003, memuatkan satu wawancara dengan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Mark Salter, berhubung penyakit SARS
(http://news.bbc.co.uk/1/hi/talking_point/2910117.stm): "Dr Mark Salter: 'I think the likelihood of this being connected to any terrorist reaction is so small as to be not a realistic option. The reason I say that is we are looking a major agent that seems to be causing this is called the corona virus - they are commonly found in the environment and corona viruses are responsible for about 15 - 20% of colds in human beings. We also know that they can cause particularly severe disease in pigs and other animals. So these viruses are not uncommon. We also know that some of the corona viruses are able to change when they pass through the pigs and various other animals that they infect and it seems highly likely that what we're seeing is perhaps a pig virus that for whatever reason has changed slightly and been able to get into human beings and now we're seeing it's spreading and causing this problem.' Manisha Tank: 'Well we have to finish there for now. Dr Mark Salter of the World Health Organization, thank you for expanding our knowledge on this subject and do press on with the excellent work. Goodbye'." (Dr. Mark Salter dari WHO: '..Besar kemungkinan wabak yang sedang kita saksikan ini berpunca dari virus babi yang telah berubah sehingga mampu menjangkiti manusia..' - BBC News)

Allah berfirman di dalam Al-Quran: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi. (Al-Baqarah 2:173)

(Untuk perincian sila dapatkan buku 'Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden' oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin)

16 April 2003


Paradigma 19                    Top

Soalan:

Dr. Danial, benarkah kita berada di era Dajal pada hari ini?

Jawapan:

Nabi s.a.w bersabda: "(Kelajuan perjalanan Dajal) ialah seperti awan yang dipukul angin.." (Riwayat Muslim dan Tarmuzi) Di dalam riwayat yang lain Baginda s.a.w telah bersabda: "Dajal akan mengenderai keldai. Jarak di antara kedua telinganya ialah tujuh puluh ela." (Riwayat Baihaqi) Nabi s.a.w juga telah bersabda: "Dajal akan melompat di antara langit dan bumi." (Riwayat Abu Daud)

Sistem pengangkutan yang wujud pada hari ini dengan kapal terbang dan jetnya menepati sabda-sabda Nabi s.a.w yang terdapat di dalam hadis ini. Jet-jet pejuang Amerika dan sekutu-sekutunya di Barat telah mendatangkan malapetaka yang dahsyat kepada Iraq, Afghanistan dan negara-negara lain. Teknologi di dalam bidang ini rata-ratanya dikuasai oleh Barat. Era Dajal ada perkaitan dengan kelahiran sistem pengangkutan yang canggih ini.

Nabi s.a.w bersabda: "Dajal akan mengarahkan langit dan langit akan menurunkan hujan dan dia akan mengarahkan bumi dan bumi akan mengeluarkan tumbuh-tumbuhan." (Riwayat Muslim dan Tarmuzi)

Teknologi yang wujud pada hari ini mampu 'mencipta' hujan. Daily Telegraph, London, bertarikh 20 Ogos, 1969, melaporkan, kristal silver iodine telah digunakan di padang pasir untuk menurunkan hujan. Kristal yang sama juga pernah digunakan untuk meredakan kekuatan ribut taufan seperti yang telah dilakukan ke atas taufan Hurricane Debris dan Hurricane Esther. Era Dajal juga ada perkaitan dengan dengan kelahiran teknologi ini.

Nabi s.a.w bersabda: "Dajal akan datang dari sebelah Timur. Tujuannya ialah (untuk menghancurkan Madinah...." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kawasan yang banyak menerima padah kesan dari tindakan ganas golongan Barat ialah negara-negara Timur, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sebagai contoh, penjajahan yang berlaku selepas selesai perang dunia kedua kebanyakannya melibatkan negara-negara Timur. Negara-negara Arab di Timur Tengah terus diancam oleh anak emas Amerika, iaitu, Israel. Rakyat Palestin, hidup di dalam penderitaan yang berterusan selepas penubuhan negara Israel pada tahun 1948. Israel tertegak dengan bantuan Britain dan sekutu-sekutunya di Barat. Afghanistan telah diserang oleh Amerika demikian juga dengan Iraq. Negara-negara teluk yang kaya dengan minyak menjadi daya tarikan kepada kuasa-kuasa besar Barat. Sebenarnya agama Islam menjadi sasaran serangan mereka. Selepas Afghanistan mereka menyerang Iraq. Selepas Iraq mungkin Syria. Akhirnya mungkinkah mereka akan cuba binasakan kota Madinah?....... Ya, kita sedang berada di era Dajal!

(Untuk perincian sila dapatkan buku 'Empayar Minda Muslim' oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Pelancaran pada 26 April, 2003 di Masjid Shah Alam)

20 April 2003


Paradigma 20                    Top

Soalan:

Dr. Danial, bagamanakah cara untuk melawan syaitan?

Jawapan:

Iblis dan syaitan adalah musuh Bani Adam justeru peperangan dan persengketaan di antara manusia dengan syaitan akan berterusan hingga ke hari kiamat. Salah satu strategi syaitan untuk menyesatkan manusia ialah mencantikkan maksiat serta kemungkaran yang dilakukan manusia. Allah berfirman:

"Iblis berkata: Ya Tuhan ku, oleh sebab Kamu telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Kamu yang ikhlas dari kalangan mereka." (Surah Al-Hijr ayat 39-40)

Walau bagaimanapun ayaitan susah hendak menyesatkan golongan yang beriman dan ikhlas kepada Allah terutamanya ketika beramal. Berhubung dengan ini Allah berfirman:

"Iblis berkata.... 'dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Kamu yang ikhlas dari kalangan mereka'." (Surah Al-Hijr ayat 40)

Di samping itu, golongan yang beriman serta bertawakal mempunyai kelebihan dan kekuatan ketika berdepan dengan hasutan iblis dan syaitan. Allah berfirman:

"Sesungguhnya syaitan tidak ada kekuasaan ke atas orang-orang yang beriman serta bertawakal kepada Tuhannya. Sesungguhnya kekuasaan syaitan hanyalah ke atas mereka yang mengambilnya menjadi pemimpin dan mereka yang mempersekutukannya dengan Allah." (Surah An-Nahl ayat 99-100)

Jihad melawan hawa nafsu atau mujahadah adalah satu amalan yang amat penting di dalam Islam. Mereka yang sentiasa bermujahadah akan dikurniakan petunjuk oleh Allah, justeru, iblis dan syaitan tidak berdaya untuk mengalahkan mereka. Allah berfirman:

"Mereka yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama dengan mereka yang melakukan kebaikan." (Surah Al-Ankabut ayat 69)

Berhubung dengan ayat ini, Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir berkata:

"Nabi s.a.w bersabda di dalam sebuah hadis yang bertaraf Hasan: 'Seorang mujahid ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.' Jihad melawan hawa nafsu sebenarnya dituntut di dalam setiap perkara termasuk ketika melawan syaitan dan musuh Islam. Ayat ini menunjukkan, mereka yang bermujahadah kerana Allah, akan ditunjukkan jalan-jalan yang akan membawa mereka kepada-Nya".

Melawan hawa nafsu tidak akan sempurna tanpa zikrullah kerana dengannya hati akan fokus kepada Allah sekali gus melemahkan nafsu syahwat yang bertakhta di hati. Nabi s.a.w telah bersabda berhubung peringatan Nabi Yahya as kepada Bani Israel. Di antara peringatan itu ialah:

"Allah menyuruh kamu agar membanyakkan zikrullah. Perumpamaan mereka yang berzikir ialah seperti seorang yang dikejar oleh musuhnya, kemudian dia telah menemui sebuah benteng yang kukuh dan bersembunyi di dalamnya. Sesungguhnya benteng yang paling kukuh bagi seseorang hamba yang ingin menyelamatkan dirinya dari syaitan ialah zikrullah.." (Riwayat Ahmad Hadis Hasan)

Di samping itu, ilmu juga adalah penting untuk menangkis serangan iblis dan syaitan. Mereka yang berilmu akan mengenali hak dan batil, halal dan haram, justeru mereka tidak mudah terpengaruh dengan bujukan syaitan. Allah berfirman:

"Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan berilmu di kalangan kamu beberapa darjat.." (Surah Al-Mujadalah ayat 11)

Berhubung dengan ini, Nabi s.a.w bersabda:

"Tidak ada ibadah kepada Allah yang lebih utama dari kefahaman agama. Sesungguhnya seorang yang mendalam ilmu agamanya (fakih) lebih susah untuk diperdayakan syaitan berbanding seribu orang ahli ibadah..." (Riwayat At-Thabrani)

(Untuk perincian sila dapatkan buku 'Empayar Minda Muslim' oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Pelancaran pada 26 April, 2003 di Masjid Shah Alam, biiznillah)

23 April 2003

Dr Danial ZA
Danial Zainal Consultancy M Sdn Bhd
04-6590208


Disclaimer
 
The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.