Paradigma Dr Danial


Siri 21    Siri 22   Siri 23   Siri 24   Siri 25    Siri 26   Siri 27   Siri 28   Siri 29    Siri 30


Paradigma 21                    Top

Ibadah Melahirkan Umat Yang Sihat

Penghayatan rukun Islam yang lima amat menguntungkan kesihatan. Sebagai contoh, di dalam konteks puasa, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman telah melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 wanita Islam yang berpuasa Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan di akhir Ramadan. Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya telah membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan, dan berat badan mereka ditimbang. Secara umumnya, kesihatan mereka didapati berada di tahap yang amat baik dan kadar kolesterol serta lemak mereka menurun.

Kajian-kajian ini menunjukkan, secara amnya, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan umat Islam. Malah ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme lemak sekali gus membantu mengawal berat badan seseorang. Puasa juga dapat meredakan tekanan ke atas jiwa seseorang kerana, di samping tidak makan, minum dan bersetubuh di siang hari, umat Islam digalakkan membaca Al-Quran, menambahkan solat, menjaga lidah dan banyak bersedekah. Amalan-amalan ini menguatkan dan mendamaikan hati.

Solat juga mempunyai kebaikan di sudut kesihatan. Ia adalah zikir yang paling utama bagi seseorang Muslim. Imam Abu Al-Aliyah berkata: "Solat mempunyai tiga keistimewaan, dan jika tidak ada ketiga-tiga ini di dalam sesuatu solat, solat itu dianggap tidak berfaedah sama sekali. Keistimewaan-keistimewaan itu ialah ikhlas, khusyuk dan zikrullah".

Solat dipenuhi dengan zikir dan bacaan Al-Quran dan sehubungan dengan ini, Dr. Ahmed El-Kadi dari Klinik Akbar di Panama City, Florida, membuat satu kajian berhubung kesan mendengar Al-Quran ke atas fisiologi manusia. Di antara aspek fisiologi yang diambil kira di dalam kajian ini ialah, kadar denyutan jantung, tekanan darah serta tekanan ke atas saraf dan otot. Beliau mendapati, mereka yang mendengar Al-Quran, termasuk dari kalangan yang bukan Islam dan bukan Arab, mengalami perubahan fisiologi yang positif di dalam diri mereka.

Umat Islam juga diwajibkan berwuduk (perform ablutions) sebelum bersolat dan bagi mereka yang berjunub, mandi wajib perlu mereka laksanakan sebelum bersolat. Amalan berwuduk lima kali sehari mampu membersihkan anggota badan dari kotoran yang melekat padanya. Berhubung dengan mandi wajib selepas mengadakan hubungan seks, kesan positifnya kepada kesihatan tidak boleh disangkal lagi. Pakar-pakar perubatan dari Institut Teknologi Penjagaan Kesihatan di Washington menyatakan, untuk mencegah dari penyakit jangkitan seksual (STD), kebersihan diri sebelum dan selepas mengadakan hubungan seks, seperti segera membasuh anggota sulit selepas mengadakan persetubuhan adalah penting. Malah pakar-pakar dari Institut ini menggalakkan seseorang mandi secara sempurna selepas mengadakan hubungan seks sebagai langkah pencegahan dari penyakit-penyakit ini. Semua ini sebenarnya telah diajar oleh Islam kepada umatnya 1420 tahun dahulu.

Ketika melakukan solat, umat Islam wajib sujud dengan meninggikan punggung dan meletakkan dahi serta kepala mereka ke bumi  Mengikut kajian, kedudukan ini, jika dilakukan dari masa ke semasa, amat baik untuk kecergasan otak. Mereka yang sering melakukan senaman yoga amat menyedari hakikat ini kerana salah satu senaman yoga yang popular ialah Adha Mukha Svanasana. Kedudukan Yoga Adha Mukha Svanasana ialah, meninggikan punggung dan merendahkan kepala ke bumi. Mengikut Dr. Roger Cole, seorang pakar di dalam bidang fisiologi dan pusingan biologi dan juga seorang guru Yoga Ivengar yang bertauliah, "kedudukan ini amat baik untuk kesegaran badan di samping mampu meredakan tekanan, mengukuhkan otot-otot, menghilangkan sakit belakang dan pening kepala serta mengawal penyakit darah tinggi, asma, sakit saraf dan resdung."

Sebenarnya otak manusia menggunakan 25% dari oksigen yang terdapat di dalam badan walaupun beratnya hanya 3% dari keseluruhan berat badan. Di dalam keadaan biasa sebahagian sel-sel otak tidak mendapat keperluan oksigen yang diperlukan kerana jantung terpaksa mengepam darah ke atas sekali gus melawan tekanan graviti. Ketika sujud, darah akan turun ke otak dengan mudah dibantu oleh tekanan graviti, dan dengan itu menambahkan bekalan oksigen ke otak. Di dalam keadaan ini, otak manusia menjadi semakin cergas dan fokusnya semakin mantap. Peter Russell di dalam bukunya The Brain Book berpendapat: "Otak manusia beroperasi 7% lebih cepat dan 14% lebih tepat di dalam keadaan kepala mereka di bawah (inverted)."

Penemuan-penemuan positif yang saintifik berhubung dengan kebaikan merendahkan kepada di bawah telah merangsang satu sistem rawatan baru pada hari ini yang dikenali sebagai inversion therapy. Dengan menggunakan alat-alat tertentu, seseorang dibalikkan dari atas ke bawah bertujuan untuk mengalirkan darah dari kaki ke kepala dengan bantuan tekanan graviti, semata-mata untuk menjaga kesihatan diri.

Sujud umat Islam yang dilakukan paling kurang 34 kali sehari semalam melalui solat yang fardu, tidak memerlukan sebarang alat dan mesin. Ia merupakan pendekatan yang amat sederhana yang mampu dilakukan oleh semua orang, tidak kira yang tua atau muda, dan kesannya kepada kesihatan tidak dapat disangkal lagi. Solat mengandungi banyak rahsia dan kebaikan yang baru difahami pada hari ini, justeru beruntunglah mereka yang sentiasa melakukan solat semata-mata untuk mencari keredaan Ilahi...........

(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku "Empayar Minda Muslim - Modul Tarbiah Asas Alaf Ketiga" oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Ia diterbitkan oleh PTS Publication. ISBN 983-192-744-3. 294 halaman. Harga RM28.50. Berada di dalam pasaran sekarang. Nombor telefon PTS Publication: 09-2330485. Nombor telefon pejabat Dr. Danial: 04-6590208)

28 April 2003


Paradigma 22                    Top

Ibadah Mendekati Alam

Tanah adalah penting di dalam kehidupan manusia. Nabi Adam as berasal dari tanah. Tumbuh-tumbuhan dan makanan asasi manusia juga berasal dari tanah. Apabila seseorang manusia meninggal dunia, dia disemadikan di dalam tanah. Di samping itu, tanah adalah penting sebagai alat pencuci. Berhubung dengan ini Nabi s.a.w bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid balikkanlah terompahnya. Jika didapati ada kotoran di bawahnya, gosoklah ia di atas tanah kemudian bersolatlah dengannya." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Di dalam riwayat yang lain yang berkaitan dengan jilatan anjing, Nabi s.a.w bersabda: "Sucinya bejana salah seorang daripada kamu yang dijilat anjing ialah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan yang pertama dicampuri dengan tanah." (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Tanah mempunyai komposisinya yang tersendiri, 45% daripadanya adalah zat-zat logam (minerals), 25% udara, 25% air dan 5% adalah bahan-bahan organik. Tanah ada kelebihannya.   Ahli sains di Norway menemui sejenis kulat di tanah yang mampu menghasilkan ubat yang bernama cyclosporin. Ia digunakan sebagai rawatan selepas pembedahan pemindahan organ (anti-rejection drug). Di sebuah ladang jagung, seorang pelajar dari Universiti Wisconsin menemui sejenis protein dari bakteria yang mampu mengeluarkan ais (bacterial ice-forming protein). Pada hari ini ia telah digunakan untuk mengeluarkan ais bagi pusat-pusat ski. Di Indonesia, pakar-pakar sains menemui sejenis bahan dari kuman tertentu (microbial molecule) di tanah yang mampu menukarkan kanji (starch) kepada glukos. Di sebuah padang golf di Jepun, seorang pakar sains menemui sejenis ubat yang mampu merawat penyakit parasit (parasitic infection) yang sering menyerang binatang ternakan. Bakteria yang diperolehi dari tanah juga telah menghasilkan produk yang bernama ivermectin...... Lebih dari itu, lebih kurang 3222 antibiotik yang terdapat pada hari ini sebenarnya diperolehi dari kuman dan kebanyakan dari kuman-kuman ini diperolehi dari tanah...... Tambahan dari itu, sabun, abu dan tanah selut adalah sama-sama efektif sebagai bahan pencuci, jika dilakukan dengan betul. Hal ini telah dilaporkan oleh Dr. Bilqis Amin Haque di bawah tajuk Comparison of Soap, Soil and Ash in Cleaning Hands After Defaecation: A Rural Bangladesh Experience di Dialogue on Diarrhoea Online, di dalam isu 54 bagi bulan September/November 1993.

Apabila seseorang Muslim bersuci dengan tanah, dia sedang mendekatkan dirinya kepada alam dan kunci kehidupan. Lebih dari itu, tanah merupakan alat pencuci yang murah, berkesan dan boleh diperolehi di seluruh dunia.

(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku "Empayar Minda Muslim - Modul Tarbiah Asas Alaf Ketiga" oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Ia diterbitkan oleh PTS Publication. ISBN 983-192-744-3. 294 halaman. Harga RM28.50. Berada di dalam pasaran sekarang. Nombor telefon PTS Publication: 09-2330485. Nombor telefon pejabat Dr. Danial: 04-6590208)

6 May 2003


Paradigma 23                    Top

Ibadah Melahirkan Tokoh Yang Bersinar Hatinya

Kebersihan hati menentukan kesahihan ibadah seseorang. Di dalam konteks solat, unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada enam.. Keenam-enam itu, mengikut Imam Al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, ialah, "kehadiran hati, pemahaman, pengagungan, merasai kehebatan, harap dan malu." Kehadiran hati bermaksud, hati tidak menerawang memikirkan perkara lain daripada solat. Pemahaman bermaksud, memahami segala perkataan yang dilafazkan di dalam solat. Pengagungan dan merasai kehebatan bermaksud, berasa takut terhadap Allah hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran Ilahi. Harap bermaksud, mengharapkan pahala daripada Allah kerana Dialah saja tempat pergantungan bagi manusia. Malu bermaksud, berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.

Berhubung dengan ini, Imam Al-Hasan berkata: "Mereka yang tidak menghadirkan hati ketika melakukan solat, solat mereka akan mencepatkan mereka kepada seksaan Allah".

Perlaksanaan ibadah-ibadah ini secara konsisten akan menyedarkan umat Islam tentang kepentingan memelihara hati dari serangan anasir yang boleh merosakkannya. Di antara perkara yang amat ditekankan agama ialah keikhlasan. Allah berfirman di dalam Al-Quran: "Maka kecelakaanlah bagi mereka yang solat, (iaitu) mereka yang lalai dari solatnya. Yang mengerjakan kebajikan untuk dilihat orang (riyak).." (Surah Al-Ma'un ayat 4-6)

Mereka yang ikhlas akan mendapat kedudukan yang istimewa di hari akhirat. Nabi s.a.w bersabda: "(Di antara mereka yang) duduk di bawah naungan Arasy Allah, pada hari yang tidak ada sebarang naungan melainkan naungan-Nya ialah, seorang lelaki yang bersedekah dengan tangan kanannya sehingga tersembunyi dari tangan kirinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebaliknya, mereka yang suka menunjuk-nunjuk akan mendapat dosa dan kehinaan. Nabi s.a.w bersabda: "Sedikit daripada riyak (ketika beramal) adalah syirik.." (Riwayat At-Tabrani dan Al-Hakim. Isnadnya sahih).

Di hari akhirat, golongan yang riyak akan dipanggil dengan beberapa gelaran keji, seperti yang disebutkan oleh Nabi s.a.w: "(Di hari kiamat mereka yang riyak akan dipanggil dengan gelaran) Wahai orang yang keji, wahai pengkhianat, wahai orang yang suka menunjuk-nunjuk.." (Riwayat Ibn Abi Dunya)

Di dalam Ihya Ulumuddin, diriwayatkan perkataan Saidina Ali ra berhubung dengan cara untuk mengenali riyak. Beliau berkata "Mereka yang suka menunjuk-nunjuk (riyak) mempunyai tiga tanda: apabila bersendirian malas beribadah, sebaliknya apabila berada bersama-sama dengan orang ramai, dia menjadi rajin. Apabila dicaci, amal ibadahnya dikurangkan. Sebaliknya, apabila dipuji, dia menambahkan amalannya".

Hati yang bersih juga akan melahirkan peribadi yang jujur lagi beramanah. Peribadi seperti ini semakin ketandusan pada hari ini. John C. Maxwell di dalam Developing The Leader Within You berkata: "Semua orang pernah menemui mereka yang penonjolan luarannya lebih hebat dari dalamannya. Amat menyedihkan, pada hari ini, ramai orang memberi fokus kepada pembinaan imej luaran lebih daripada imej dalaman. Yang anehnya apabila mereka 'jatuh' mereka tidak tahu punca yang menyebabkan kejatuhan itu........ Rumah Putih, Pentagon, Capitol Hill, gereja, gelanggang sukan, akademi malah pusat penjagaan kanak-kanak, semuanya telah diserang pelbagai skandal yang memalukan pada hari ini...."

Umat Islam adalah kekuatan yang diperlukan oleh manusia pada hari ini kerana mereka dilatih untuk mengutamakan kekuatan dalaman lebih dari kehebatan luaran yang memperdayakan.

(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku "Empayar Minda Muslim - Modul Tarbiah Asas Alaf Ketiga" oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Ia diterbitkan oleh PTS Publication. ISBN 983-192-744-3. 294 halaman. Harga RM28.50. Berada di dalam pasaran sekarang. Nombor telefon PTS Publication: 09-2330485. Nombor telefon pejabat Dr. Danial: 04-6590208)

9  May 2003


Paradigma 24                    Top

Kepentingan Akal Untuk Mengenali ALLAH

Akal adalah alat penting untuk mengenali Allah. Pengamatan yang mendalam tentang diri dan alam boleh mendekatkan seseorang kepada Allah. Allah berfirman:

"Dan Dialah yang telah menciptakan bagi mu pendengaran, penglihatan dan hati. Amat sedikitlah yang bersyukur. Dan Dialah yang menciptakan serta meramaikan kamu di bumi ini dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan. Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang (mengatur) pertukaran malam dan siang. Apakah kamu tidak berfikir tentangnya?" (Surah Al-Mukminun ayat 78-80)

Imam Ar-Razi meriwayatkan, Imam Malik pernah ditanya oleh khalifah Harun Ar-Rasyid tentang bukti kewujudan Allah, dan beliau menjawab: "Buktinya ialah, setiap manusia telah dikurniakan mulut dan lidah yang lebih kurang sama kejadiannya, tetapi bahasa, suara dan intonasi setiap seorang daripada mereka adalah berbeza."

Imam Abu Hanifah pernah ditanya oleh sekumpulan manusia tentang bukti kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta, dan beliau menjawab: "Aku sedang berfikir tentang sebuah kapal di laut yang sarat dengan muatan dan barang dagangan tetapi yang peliknya kapal ini tidak ada nakhoda dan anak-anak kapal. Ia belayar ke sana ke mari dan menyelesaikan masalah dengan sendirinya". Mereka yang mendengar perkataan Imam Abu Hanifah ini terus berkata: "Ini adalah satu kisah gila yang tidak masuk akal". Imam Abu Hanifah terus menjawab: "Kamu menganggap orang yang mengatakan kapal boleh belayar dengan sendirinya adalah seorang yang gila. Bagaimana pula dengan golongan yang mengatakan, alam ini yang begitu halus dan tersusun kejadiannya, terjadi dengan sendirinya tanpa Pencipta dan Pengurus?" Golongan yang menemui Imam Abu Hanifah itu terus tergamam dan akhirnya mengucap dua kalimah syahadah.

Imam Syafie pula ketika ditanya tentang dalil kewujudan Allah telah berkata: "Lihatlah daun Tut ini (mulberry leaves). Apabila dimakan oleh ulat, ia mengeluarkan sutera. Apabila dimakan oleh lebah, ia mengeluarkan madu. Apabila dimakan oleh binatang ternakan, ia mengeluarkan najis. Apabila dimakan oleh rusa, ia mengeluarkan kasturi. Bagaimana semua ini boleh berlaku sedangkan daun yang dimakan adalah sama jenisnya?"

Di dalam kitab Tafsir Al-Quran Al-Azim, Imam Ibn Kathir berkata:
"Sebahagian ulama berpendapat, sesiapa yang mengamati langit yang luas dengan bintang-bintang, bulan dan matahari yang beredar di atas paksinya tanpa henti, kemudian memerhatikan laut yang mengelilingi tanah daratan, kemudian memerhatikan bumi serta gunung ganang yang terpancang di atasnya, kemudian memerhatikan sungai yang mengalir....... di samping pelbagai jenis haiwan serta tumbuh-tumbuhan, akan memperolehi bukti tentang kewujudan Tuhan Yang Maha Pencipta lagi Maha Agung dan Maha Bijaksana"

Begitulah kepentingan akal sebagai alat untuk mengenali Allah. Walau bagaimanapun, di samping akal, dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah adalah penting untuk mengenali Allah secara sahih.

*(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku "Empayar Minda Muslim - Modul Tarbiah Asas Alaf Ketiga" oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Ia diterbitkan oleh PTS Publication. ISBN 983-192-744-3. 294 halaman. Harga RM28.50. Berada di dalam pasaran sekarang. Nombor telefon PTS Publication: 09-2330485. Nombor telefon pejabat Dr. Danial: 04-6590208)

** Dr. Danial akan menyampaikan ceramah perdana di Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan, pada 13 Mei 2003 (Selasa) jam 8.30 malam di Padang Bandaran Tapah, Perak. Buku-buku beliau akan dijual di sana.

13  May 2003


Paradigma 25                    Top

Rasul-Rasul Maksum?

Maksum bermaksud tidak mengabaikan kewajipan yang dibebankan serta tidak melakukan perkara-perkara yang haram atau yang bertentangan dengan akhlak yang luhur. Para rasul adalah maksum kerana mereka merupakan makhluk pilihan Allah serta contoh yang terbaik bagi manusia. Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah memilih Adam, Noh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran atas seluruh alam." (Surah Ali-Imran ayat 33)

Rasul-rasul bukannya golongan penipu dan pengkhianat, sebaliknya mereka adalah golongan yang benar lagi beramanah Allah menegaskan: "Tidak selayaknya seorang Nabi melalukan perkara khianat." (Surah Ali- Imran ayat 161)

Walau bagaimanapun beberapa salah faham telah timbul berhubung beberapa ayat Al-Quran berkaitan dengan kesalahan beberapa orang rasul, sebagai contoh Nabi Adam as. Allah berfirman di dalam Al-Quran: "Maka keduanya memakan buah dari pohon itu, lalu nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun di syurga dan derhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah ia." (Surah Taha ayat 121)

Ayat ini menunjukkan seolah-olahnya Nabi Adam telah melakukan satu kesalahan yang besar. Namun apabila kajian dibuat secara mendalam berpandukan ayat-ayat yang lain, kita akan mendapati Nabi Adam tidak melakukannya secara sengaja. Berhubung dengan ini Allah berfirman: "Sesungguhnya Kami telah memerintahkan kepada Adam sebelum ini dan dia lupa tentang perintah itu dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat." (Surah Taha ayat 115)

Jelas sekali kelupaan menyebabkan Nabi Adam mendekati pohon khuldi yang dilarang oleh Allah. Secara dasarnya segala perbuatan yang dilakukan di dalam keadaan terlupa tidak dianggap sebagai dosa dan maksiat. Walau bagaimanapun memandangkan status Nabi Adam adalah tinggi, Allah menegur dan menghukum Baginda di atas apa yang telah berlaku....................

Salah faham juga telah berlaku berhubung Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan firman Allah di dalam Al-Quran: "Ketahuilah sesungguhnya tidak ada Tuhan melainkan Allah. Justeru mintalah keampunan kerana dosa-dosa mu (Muhammad)." (Surah Muhammad ayat 19)

Riwayat yang sahih menyebutkan, Nabi Muhammad s.a.w beristighfar kepada Allah lebih daripada tujuh kali sehari semalam. Dosa yang dimaksudkan di sini bukanlah dosa kerana melakukan perbuatan mungkar serta maksiat, sebaliknya ia bermaksud keteledoran dan kelupaan yang tidak disengajakan. Said Hawa di dalam Al-Asas fit Tafsir berkata: "(Dosa-dosa nabi tidaklah sama seperti dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia biasa.) Dosa-dosa mereka disebabkan mereka meninggalkan perkara yang lebih baik atau afdal sedangkan dosa-dosa manusia seperti kita adalah disebabkan perbuatan keji sama ada yang kecil atau besar".

Dengan kefahaman dan takwilan yang betul, jelas kepada kita bahawa rasul-rasul adalah maksum dan tidak pernah terjebak dengan perbuatan mungkar serta maksiat.

Bible menolak konsep kemaksuman rasul justeru terdapat banyak kisah di dalamnya yang memaparkan rasul sebagai manusia yang melakukan maksiat dan dosa. Malah kadangkala rasul-rasul di paparkan sebagai insan keji yang mempunyai akhlak yang lebih rendah dari manusia biasa. Salah satu contoh ialah kisah berhubung Nabi Lut yang terdapat di dalam Bible Versi King James bab Genesis:

"And Lot went up out of Zo'-ar, and dwelt in the mountain, and his two daughters with him; for he feared to dwell in Zo'-ar; and he dwelt in a cave, he and his two daughters. And the firstborn said unto the younger, Our father is old, and there is not a man in the earth to come in unto us after the manner of all the earth: Come, let us make our father drink wine, and we will lie with him, that we may preserve seed our father. And they made their father drink wine that night; and the firstborn went in, and lay with her father; and he perceived not when she lay down, nor when she arose. And it came to pass on the morrow, that the firstborn said to the younger, Behold, I lay yesternight with my   father: let us make him drink wine this night also; and go thou in and lie with him, that we may preserve seed of our father. And they made their father drink wine that night also, and the younger arose, and lay with him; and he perceived not when she lay down nor when she arose. Thus were both the daughters of Lot with child by their father."  (Genesis 19:30-36)

Terjemahan ayat-ayat di atas mengikut Bible AlKitab Berita Baik oleh The Bible Society of Malaysia adalah seperti berikut: "Oleh sebab Lot berasa takut tinggal di Zoar, dia bersama dengan kedua-dua orang anak perempuannya pergi ke pergunungan dan tinggal di dalam gua. Anak perempuan yang sulung berkata kepada adiknya, 'Ayah semakin tua dan tiada seorang pun di seluruh negeri ini yang dapat mengahwini kita supaya kita mempunyai anak. Marilah kita membuat ayak mabuk, lalu kita tidur dengan dia supaya kita mendapat anak daripadanya'. Pada malam itu mereka memberi bapa mereka minum wain, lalu anak perempuan yang sulung berseketiduran dengan bapanya, tetapi bapanya terlalu mabuk sehingga dia tidak tahu akan apa-apa pun yang berlaku. Esok nya anak perempuan yang sulung berkata kepada adiknya, 'Aku sudah tidur dengan ayah semalam. Pada malam ini kita membuat dia mabuk lagi. Kemudian engkau pergi tidur dengan dia, supaya kita masing-masing mendapat anak'. Demikianlah pada malam itu mereka membuat bapa mereka mabuk lagi, lalu anak perempuan yang bongsu pula berseketiduran dengan dia. Sekali lagi Lot menjadi terlalu mabuk sehingga dia tidak tahu akan apa-apa pun yang berlaku. Kemudian kedua-dua orang anak Lot itu mengandung kerana bapa mereka sendiri'.

*(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku "Empayar Minda Muslim - Modul Tarbiah Asas Alaf Ketiga" oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Ia diterbitkan oleh PTS Publication. ISBN 983-192-744-3. 294 halaman. Harga RM28.50. Berada di dalam pasaran sekarang. Nombor telefon PTS Publication:  09-2330485. Nombor telefon pejabat Dr. Danial: 04-6590208. Boleh didapati di Pameran Buku Antarabangsa)

19  May 2003


Paradigma 26                    Top

Di Antara Cara Mengawal 'STRESS'

Menjauhi Rokok dan Arak

Perokok-perokok sering mengatakan rokok meredakan tekanan ke atas diri mereka. Sebaliknya kajian-kajian menunjukkan, nikotin yang terdapat di dalam rokok mengganggu otak dan saraf sehingga akhirnya perokok mengalami tekanan yang dikenali sebagai smokers stress ke tahap yang tinggi berbanding mereka yang tidak merokok. Perkara ini disebutkan oleh pakar-pakar dari Psychological ARTS yang beribu pejabat di Austin.

Institut Penyalahgunaan dan Ketagihan Alkohol Kebangsaan di Amerika mendapati alkohol juga meningkatkan tekanan. Hal ini disebabkan alkohol merangsang pengeluaran hormon-hormon seperti corticosterone dan adrenaline dari kelenjar-kelenjar pituitary, adrenal dan hypothalamus. Hormon-hormon ini meningkatkan tekanan di dalam diri manusia. Justeru, Nabi Muhammad bersabda: "Jauhilah sesuatu yang memudaratkan.." (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Tidur Yang Mencukupi Adalah Penawar

Tidur yang mencukupi merehatkan badan serta otak. Nabi Muhammad bersabda:
"Apabila salah seorang di antara kamu berasa mengantuk, hendaklah dia tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Apabila seseorang meneruskan solat ketika mengantuk berkemungkinan ketika sedang membaca istighfar tanpa disedari dia mengutuk dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari-Muslim)

Kajian menunjukkan, seseorang yang  tidur 3-4 jam kurang dari kadarnya yang biasa akan mengalami tekanan atau stress dan ini akan melemahkan sistem pertahanan badan dan menjadikannya mudah dijangkiti kuman. Penemuan ini dilaporkan di dalam majalah perubatan Lancet pada bulan Oktober, 1999.

Warna Persekitaran Yang Sesuai

Mengikut riwayat oleh Abu Naim daripada Abdullah ibn Abbas, Nabi Muhammad suka melihat kepada persekitaran yang menghijau seperti pohon-pohon dan ladang, serta air yang mengalir.

Mengikut pakar-pakar warna, warna hijau adalah warna semula jadi yang membawa kepada ketenangan dan kerehatan. Hijau juga merupakan warna kesegaran dan kehidupan. Warna biru muda juga mewujudkan suasana damai yang menguntungkan jiwa kerana ia dikaitkan dengan langit biru dan air yang tenang yang sering kali membawa kepada ketenangan.

*(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku "Perubatan Islam dan Bukti-Bukti Sains Edisi 2" oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Ia diterbitkan oleh PTS Publication. Harga RM21.00. Berada di dalam pasaran sekarang. Nombor telefon PTS Publication: 09-2330485. Nombor telefon pejabat Dr. Danial: 04-6590208. Boleh didapati di Pameran Buku Antarabangsa)

22  May 2003


Paradigma 27                    Top

Kisah-Kisah AL-Quran Benar

Gua Asahabul Kahfi   juga telah ditemui pada hari ini. Di dalam Tafsir Al-Azhar oleh Hamka disebutkan: Di dalam majalah WaÂ’yul Islami edisi Zulkaidah 1388 (Januari 1969) telah dimuatkan sebuah artikel oleh Ustaz Taisir Zibyan berhubung Ashabul Kahfi dan gua yang melindungi mereka. Ustaz Taisir Zibyan berkata: Pelbagai pendapat telah diutarakan berhubung gua Ashabul Kahfi. Ada yang mengatakan ia terletak di Sepanyol, sebahagian mengatakan ia berada di Yaman dan sebahagian yang lain berpendapat ia terletak di Bulaqaak, Oman.

Seorang tokoh orientalis dari Perancis pernah membuat kajian berhubung gua yang terletak di Bulaqaak ini pada tahun 1868 dan beliau berpendapat itulah gua yang dimaksudkan oleh Al-Quran. Jabatan Purbakala Jordan memulakan kerja penggalian gua di Bulaqaak ini pada tahun 1962. Di dalamnya terdapat tulisan-tulisan huruf Byzantium dan ini selari dengan pandangan yang mengatakan mereka hidup di zaman Byzantium. Enam peti mati yang dipenuhi tulang-tulang dan tengkorak serta dua kuburan juga telah ditemui dan ini selari dengan pandangan ramai ahli tafsir yang mengatakan jumlah mereka ialah tujuh orang bersama dengan seekor anjing. Di atas gua ditemui sebuah tempat ibadah dan penemuan ini selari dengan firman Allah pada surah Al-Kahfi ayat 21. Pengkaji juga mendapati apabila matahari terbit, cahayanya tidak memancar terik ke dalam gua dan apabila matahari hampir terbenam, mereka berada di sebelah kanan matahari. (Keadaan ini selari dengan firman Allah di dalam surah Al-Kahfi.)....

*(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku "Empayar Minda Muslim" oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin. Ia diterbitkan oleh PTS Publication. Harga RM28.50. Boleh didapati di Pameran Buku Antarabangsa di Tingkat 4 di Gerai Nombor 408)

27  May 2003


Paradigma 28                    Top

Menanti Kesempurnaan Sebelum Berdakwah?

Antara kesilapan yang sering berlaku dalam konteks dakwah ialah menanti kesempurnaan diri sebelum melaksanakan dakwah. Dengan kefahaman ini seseorang yang mampu mencegah kemungkaran tidak melakukannya kerana merasakan amalannya belum cukup mantap dan masih terdapat banyak kelemahan pada dirinya.

Berkaitan dengan isu ini Imam Said bin Jubair berkata, "Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaannya menjadi sempurna tidak ada sesiapapun yang akan mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran."

Imam Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongan beliau menambah, "Dan siapakah antara kita yang lengkap dan sempurna?"

Imam Al-Hasan pula berkata, "Siapa antara kita yang telah melaksanakan kesemua perkara yang diserunya? Syaitan amat menyukai jika manusia diperdayakan dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapapun yang mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran."

Walau bagaimanapun, persiapan tidak boleh diabaikan walaupun tidak sampai ke tahap kesempurnaan, kerana dakwah ialah medan jihad dan ijtihad dan ia tidak boleh dilakukan secara semberono. Perancangan serta persiapan perlu dilakukan dari masa ke semasa demi untuk menjamin kejayaan dakwah. Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menjelaskan, berdakwah memerlukan persiapan dan adab dan ia terbahagi kepada tiga iaitu ilmu, warak dan baik akhlak. Beliau berkata, "Berkaitan dengan ilmu, seseorang pendakwah perlu mengetahui suasana dakwahnya, batas-batasnya, tempat berlakunya kemungkaran serta penghalang-penghalangnya supaya dakwahnya berjalan di atas landasan agama. Warak menuntut seseorang pendakwah menjauhi perbuatan-perbuatan salah yang diketahuinya. Berhubung dengan akhlak yang baik, seseorang pendakwah hendaklah berdakwah dengan lemah lembut dan kasih sayang.... Dengan tiga sifat ini dakwah menjadi amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah. Tanpa ketiga-tiganya kemungkaran tidak akan tertolak malah kadangkala dakwah bertukar menjadi kemungkaran kerana melampaui batas-batas agama."

*Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku-buku Dr. Danial bin Zainal Abidin bertajuk: "Empayar Minda Muslim" dan "Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden."

17 June 2003


Paradigma 29                    Top

Umat Islam Umat Teknologi?

Sebahagian umat Islam berpendapat umat Islam tidak memerlukan teknologi pada hari ini. Bagi mereka umat boleh berjaya dengan hanya mengucap dua kalimah syahadah dan berzikir.... Walaupun kita tidak menafikan kepentingan tauhid dan takwa, namun Islam juga menuntut umatnya agar menguasai teknologi.

 

Sebenarnya, Allah menyuruh umat Islam mempersiapkan diri dengan pelbagai jenis kekuatan termasuk teknologi untuk menghadapi serangan dari pihak musuh. Dalam surah Al-Anfal ayat 60, Allah berfirman, “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu sanggup dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh.” Ketika menerangkan maksud ‘kekuatan’ dalam ayat ini, Nabi bersabda, “Ketahuilah, kekuatan itu ialah memanah.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan yang lain-lainnya. Untuk mengembangkan lagi maksud ayat ini, As-Syeikh Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir berkata, “Ramai orang tersilap memahami tujuan ayat ini. Mereka menyangka ayat ini menyuruh umat Islam mempersiapkan diri dengan menggunakan panah dan busur semata-mata sedangkan kekuatan yang dituntut bukanlah sekadar itu.

 

Sebenarnya Allah menyuruh umat Islam bersiap sedia dengan pelbagai kekuatan dan alat ketenteraan. Hal ini disebabkan ayat ini mengandungi kalimat ‘min quwwatin’ dan dalam bahasa Arab ‘min’ melambangkan jenis yang pelbagai. Justeru ayat ini menyuruh umat Islam mengukuhkan sistem pertahanan mereka dengan memperbanyakkan senjata-senjata yang seumpama panah, kerana ia boleh digunakan dari jarak jauh seperti senapang, roket dan peluru berpandu, di samping kenderaan yang canggih seperti kapal terbang dan kapal perang.”

 

Penguasaan teknologi di kalangan umat Islam sebelum ini memanglah hebat. Sebagai contoh di zaman Empayar Uthmaniah, salah seorang rajanya, iaitu Sultan Muhammad Al-Fatih berjaya menakluki kota Constantinople pada tahun 753 Hijrah bersamaan dengan 1453 Masihi. Mengikut para pengkaji sejarah, teknologi persenjataan berbentuk meriam dan bom yang digunakan oleh Sultan Muhammad Al-Fatih ketika itu begitu canggih dan belum pernah digunakan oleh sesiapa pun sebelum ini. Dengan teknologi ini, kota Constantinople akhirnya jatuh ke tangan orang Islam.

 

Selepas masa berlalu, tiba-tiba umat Islam menjadi lemah. Bidang kajian dan tafakur yang berkaitan dengan sains dan teknologi tidak lagi diminati sedangkan di Barat ia tumbuh dan berkembang seperti cendawan. Umat Islam asyik berdebat dan berfalsafah di dalam perkara ranting yang tidak berfaedah. Berhubung dengan perkara ini, As-Syeikh Hasan An-Nadwi di dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam berkata: “Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung perkara yang tidak bermanfaat. Jika mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin kedudukan mereka tidak akan menjadi separah itu. Umat Islam bukan saja asyik membahaskan sifat-sifat Allah, mereka juga berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit. Hasil penemuan (sains) kaum Muslimin sama ada di sudut kuantiti ataupun kualitinya, tidak mendatangkan apa-apa makna jika dibandingkan dengan penemuan Barat.... Kaum Muslimin tidak hanya ketinggalan beberapa saat sahaja berbanding bangsa Eropah, lebih dari itu mereka terbelakang selama beberapa abad dan beberapa generasi lamanya...” (Rujukan: Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam, Hasan Nadwi, Pustaka Bina Ilmu, hal 167, 187)

 

*(Untuk lebih terperinci sila dapatkan buku-buku Dr. Danial bin Zainal Abidin bertajuk "Empayar Minda Muslim" dan "Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden Edisi Ke-2" terbitan PTS Publication)

 

21 July 2003


Paradigma 30                    Top

Golongan Yang Tertipu - Ulama dan Ahli Ibadah.

Mereka  yang   berpegang  kepada  agama boleh terpedaya dengan diri sendiri. Dalam   Ihya  Ulumuddin  bab Tercelanya Ghurur, Imam Al-Ghazali membahagikan golongan  ini  kepada  empat,  iaitu, ulama, ahli ibadah, golongan sufi dan hartawan.  Beliau berkata, "Antara golongan yang terpedaya ialah ahli fikah yang  menguasai  ilmu  ketaatan  tetapi  tidak   mengamalkannya.  Sebahagian daripada  mereka  menguasai  ilmu   yang berkaitan dengan kemaksiatan tetapi tidak  menjauhinya.  Sebahagian   yang  lain  mengetahui tentang kepentingan akhlak  tetapi   tidak  menghiaskan  diri mereka dengan akhlak yang terpuji. Inilah   (ulama)  yang  tertipu...Imam  Tabrani  dan Al-Baihaqi meriwayatkan sabda Nabi yang bermaksud, 'Manusia yang mendapat azab yang paling keras di hari kiamat ialah orang alim yang tidak mendapat manfaat dari ilmunya'..."

Bagaimana  pula dengan ahli ibadah? Berhubung dengan mereka Imam Al-Ghazali berkata,  "Adapun   ahli-ahli  ibadah,  mereka boleh tertipu dengan pelbagai cara.   Sebahagiannya  tertipu  sehingga bertindak berlebihan-lebihan ketika beribadah,  sebagai  contoh,  berlebih-lebihan  dalam penggunaan air ketika berwuduk  kerana  waswas. Sebahagian yang lain bertindak berlebih-lebihan ketika  berniat,  bertakbiratul  ihram  serta ketika membetulkan makhraj di saat  membaca  surah  Fatehah  sehingga  mereka   mengulang-ulangi perbuatan mereka  beberapa  kali.  Di samping itu terdapat juga ahli-ahli ibadah yang rajin  melaksanakan  ibadah  haji   tetapi  pada  ketika  yang  sama  mereka menzalimi   manusia,  tidak membayar hutang dan tidak menggunakan harta yang halal.   Sebahagian  dari  mereka  ini  mensia-siakan solat dalam perjalanan menuju  ke  Mekah.  Sebahagian  yang  lain  pula terpedaya dalam menentukan keutamaan.  Mereka  mengutamakan  ibadah   yang  sunat dan bergembira dengan solat duha, solat malam dan seumpamanya dan meringan-ringankan solat fardu, sedangkan  mengikut sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Allah  berfirman,  'Tidaklah  hambaKu mendekatiKu dengan sesuatu yang lebih Aku sukai daripada ibadah yang fardu'."

Untuk  tidak   terpedaya,  ilmu  perlu dikuasai dengan mantap agar dengannya kita   mengenali  keutamaan-keutamaan  dalam  hidup  dan  ibadah.   Ilmu yang dikuasai  hendaklah  dipraktikkan  sedaya upaya kita dengan hati yang jujur lagi ikhlas. Selepas itu bersangka baik dan bertawakallah kepada Allah...

*(Untuk  lebih   terperinci  sila  dapatkan  buku-buku Dr. Danial bin Zainal Abidin bertajuk "Empayar Minda Muslim" dan "Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden Edisi Ke-2" terbitan PTS Publication)

31 July 2003

Dr Danial ZA
Danial Zainal Consultancy M Sdn Bhd
04-6590208


Disclaimer
 
The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.