Brothers, please read below !


ISLAM BUKAN UNTUK MELAYU SAHAJA

Assalamualaikum,

Pada masa sekarang, banyak pertubuhan Islam samaada  pertubuhan kerajaan mahupun bukan kerajaan telah ditubuhkan untuk merancakkan lagi perkembangan Islam di negara ini. Ada yang menggunakan politik sebagai platform untuk bergerak, manakala ada pula yang menjaga kebajikan masyarakat Islam. Untuk disenaraikan semuanya memanglah banyak, antaranya PAS, Abim, Jim. Tidak ketinggalan juga yang ditubuhkan semata-mata untuk menjaga masyarakat yang baru memeluk Islam, seperti cina Islam mahupun india Islam sebagai contoh, Perkim.

Kebanyakkan aktiviti-aktiviti dakwah yang diadakan pula banyak memusat kepada perkembangan ilmiah, sahsiah dan rohani dikalangan masyarakat melayu Islam. Aktiviti-aktiviti dakwah yang diadakan memang perlu malah sangat penting untuk terus diadakan demi kemantapan iman dikalangan kita.

Tetapi yang menyedihkan ialah tidak banyak aktiviti dakwah yang diadakan khusus untuk golongan bukan Islam dalam usaha menarik minat mereka kepada Islam. Walaupun Islam adalah agama rasmi Malaysia, namun tidak banyak kemanisan Islam yang dapat ditonjolkan. Bukan sahaja sistem ekonomi, undang-undang dan pemerintahan Islam tidak diamalkan, malah sahsiah dan akhlak masyarakat Islam sekarang juga tidak banyak bezanya dengan masyarakat lain yang terlalu banyak kebebasan. Ini semua tidak akan menarik minat mereka ke arah Islam malah akan menjauhkan lagi mereka daripada kita.

Cuba kita lihat, sebagai contoh, masyarakat cina dan india di negara kita. Mereka telah lama menetap di sini malah hampir sebati dengan masyarakat melayu, tetapi berapa ramaikah yang tertarik kepada Islam ? Yang menghairankan, lebih banyak penganut Buddha dan Hindu menukar agama kepada Kristian daripada Islam. Mengapakah ini berlaku? Apakah kelebihan Kristian yang menyebabkan mereka tertarik kepadanya? Jika dilihat di Sabah dan Sarawak sebagai contoh, kita mungkin tidak tahu bahawa di kawasan pedalaman terdapat banyak paderi kristian berusaha mendekati mereka dengan menaburkan banyak bakti berbentuk kebajikan dan wang ringgit kepada penduduk setempat dengan harapan dapat menarik mereka kepada Kristian.

Bukan itu sahaja, buku buku kristian juga boleh didapati dengan mudah, malah ada yang di terjemah dalam bahasa mandarin dan tamil. Tetapi bagaimana pula dengan buku buku tentang agama Islam? Yang  pasti buku buku yang menerangkan tentang Islam sememangnya banyak di pasarang, namun boleh dikatakan sebahagian besar daripadanya di dalam bahasa melayu. Buku-buku ajaran Islam di dalam English pula adalah terhad manakala didalam bahasa mandarin mahupun tamil boleh dikatakan tidak wujud sama sekali di dalam pasaran tempatan. Sebenarnya buku-buku mengenai Islam yang dikarang dalam bahasa-bahasa ini sebenarnya telah wujud, terutamanya di pasaran antarabangsa, dan di Malaysia pula, ianya boleh didapati di beberapa perpustakaan institusi pengajian tinggi. Namun yang menghairankan ialah mengapa buku-buku seperti ini tidak langsung terdapat di dalam pasaran tempatan, iaitu amat sukar sekali untuk mendapatkan buku-buku yang ditulis dalam bahasa-bahasa asing seperti mandarin dan tamil.

Kita seharusnya sedar bahawa lebih banyak usaha dakwah perlu dilaksanakan demi menarik lebih ramai masyarakat kaum cina dan india untuk memeluk Islam. Sepatutnya kita bersyukur kerana mempunyai kelebihan dalam melaksanakan usaha-usaha tertentu ke arah itu memandangkan agama rasmi kita ialah Islam (masih lagi Islam ! ) dan majoriti rakyat Malaysia beragama Islam. Pertubuhan dan badan-badan yang telah dan akan ditubuhkan sepatutnya mengambil peluang ini dengan tidak hanya menumpukan aktiviti-aktiviti dakwahnya kepada masyarakat melayu Islam sahaja malah turut mengadakan aktiviti dan usaha-usaha kearah menarik lebih ramai masyarakat bukan Islam seperti masyarakat cina dan india untuk tertarik kearah Islam.

Sebagai contoh, lebih banyak buku-buku dan risalah mengenai Islam yang ditulis dalam English, mandarin dan tamil dibawa masuk ke pasaran tempatan melalui negara-negara seperti United Kingdom, Arab, China, India dan Pakistan. Malah, kepada mereka yang berkebolehan, saya menyeru supaya buku dan risalah yang sedia ada dalam bahasa melayu diterjemahkan ke dalam bahasa mandarin mahupun tamil. Ini juga adalah salah satu daripada usaha dakwah yang perlu dilakukan.Dengan ini, bukan sahaja dapat membantu golongan saudara baru, malah turut menarik perhatian mereka yang berminat terhadap Islam.

            Buku-buku dan risalah yang telah diterjemah ke bahasa lain ini juga, selain di jual di pasaran tempatan, badan-badan tertentu boleh membanyakkan penerbitan buku-buku itu supaya dapat di"hadiahkan" ke perpustakaan-perpustakaan utama yang mana mempunyai banyak pengunjung bukan melayu. Malah, seharusnya, setiap perpustakaan sekolah jenis kebangsaan dilengkapi dengan buku-buku seumpamanya. Ini dapat mendedahkan kepada mereka tentang kemanisan Islam yang sebenarnya sejak mereka diperingkat persekolahan lagi. 

Sebagai seorang individu pula, salah satu langkah berdakwah ialah dengan merapatkan hubungan dengan golongan cina dan india. Sebenarnya, dengan menjalinkan hubungan yang erat dengan jiran tetangga yang bukan beragama Islam seperti cina dan india dan menunjukkan akhlak yang baik secara tidak lansung merupakan salah satu daripada usaha dakwah. Saling ziarah menziarahi antara masyarakat muslim dan bukan muslim ini akan membuatkan diri mereka dihargai dan dikasihi. Dengan ini, kita akan memupuk nilai-nilai Islam yang murni dikalangan mereka dan mereka juga akan tertarik kepada Islam dan mendapat hidayat-Nya.

Islam adalah agama yang syumul yang bukan sahaja dimiliki oleh masyarakat melayu, malah ianya agama yang membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab untuk berdakwah kepada golongan yang masih belum mengenal Islam. Badan-badan dan pertubuhan Islam, serta setiap individu Islam mesti memikir dan melaksanakan dakwah dengan berhemah dan dakwah yang dilaksanakan hendaklah meliputi seluruh masyarakat Malaysia amnya. Semoga usaha murni yang dilakukan akan mendapat rahmat Allah swt.

wassalam

Islah Gateway: January 2003


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.