Let's ponder together


Papan Tanda Berbahasa Melayu

Tahun 1999 telah dijadikan sebagai tahun melawat Pulau Pinang dengan harapan akan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini. Namun, saya merasa kecewa dengan sikap kebanyakkan pemilik dan pengusaha kedai yang terdapat di persekitaran Pulau Pinang yang tidak mempamirkan papan tanda kedai mereka dalam bahasa Malaysia. Kebanyakkannya papan tanda di tulis dalam bahasa Mandarin. Ada juga yang menulis papan tanda kedai mereka di dalam dua bahasa, bahasa Malaysia dan Mandarin tetapi tulisan bahasa Mandarinnya besar dan jelas kelihatan manakala bahasa Malaysianya kecil dan hampir tidak kelihatan jika dilihat dari jauh.

Sepatutnya peniaga mempamirkan papan tanda mereka dalam bahasa Malaysia kerana pelanggan mereka adalah dari semua golongan rakyat Malaysia, tidak kira bangsa mahupun agama. Jika mereka hanya mempamirkannya dalam bahasa Mandarin, bagaimana pula pelanggan berbangsa lain yang tidak memahami bahasa Mandarin hendak mengetahui apakah yang dijual di kedai itu. Seharusnya, setiap kedai mempamirkan papan tanda mereka dalam bahasa Malaysia kerana kita semuanya rakyat Malaysia mesti berbangga dengan bahasa Malaysia tanpa mengira latar belakang bangsa kita. Dengan penggunaan bahasa Malaysia juga akan menunjukkan kepada pelancong asing yang datang sempena tahun melawat Pulau Pinang bahawa rakyat Malaysia yang berbilang kaum semuanya bersatupadu dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

Saya dapati perkara ini tidak hanya berlaku di Pulau Pinang tetapi juga berlaku di bandar-bandar besar di seluruh Malaysia. Pihak penguasa sepatutnya memastikan undang-undang dipatuhi dengan mewajibkan semua perniaga mempamirkan papan tanda perniagaan mereka dalam bahasa Malaysia. Penggunaan satu bahasa iaitu bahasa Malaysia bukan sahaja akan meningkatkan perniagaan malah akan mengeratkan hubungan antara kaum di Malaysia.

PenangMali: January 1999


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.