Semoga di ambil ikhtibar.


PERPADUAN MASYARAKAT KE ARAH

KEMAKMURAN NEGARA

Assalamualaikum,

Saudara pengarang,

Di dalam perlembagaan Malaysia telah termaktub bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara kita. Malah memang sejak dahulu lagi seluruh rakyat jelata, termasuklah masyarakat Cina dan India telah sedar bahawa tanpa mengetahui bahasa Melayu, mereka tidak akan dapat menjalankan urusan harian mereka.

Tetapi sejauh manakah benarnya peryataan ini.

Kalau dilihat sekarang, walaupun bahasa Melayu telah digunakan secara meluas, namun dikalangan masyarakat bukan Melayu, penggunaannya semakin hambar. Malah, ada segelintir yang lansung tidak tahu ( tidah mahu ? ) bertutur di dalam bahasa Melayu. Yang menghairankan, golongan ini bukannya golongan yang berumur, sebaliknya mereka adalah golongan yang masih muda, iaitu generasi yang lahir selepas bahasa Melayu di daulatkan. Bagi mereka bahasa ibunda mereka lebih penting dan English adalah bahasa kedua mereka. Mengapakah perkara ini boleh berlaku sedangkan masyarakat bukan Melayu yang wujud sebelum mereka, lebih petah bertutur dalam bahasa Melayu berbanding mereka? Di manakah silapnya di dalam usaha mendaulatkan bahasa Melayu?

Seseorang pasti bertanya, apakah pentingnya bahasa  Melayu ? Yang jelas, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, adalah penting mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain, dan hubungan yang baik ini hanya wujud apabila perpaduan wujud antara masyarakat berbilang kaum dan agama. Salah satu cara ke arah mencapai perpaduan ini ialah dengan mengunakan satu bahasa penghantar yang sama, iaitu bahasa Melayu. Menerusi perlembagaan, secara jelasnya telah termaktub bahawa bahasa Melayu memang telah menjadi kewajipan setiap warganegara Malaysia untuk mengetahuinya. Tetapi bagaimana pula cara pelaksanaan untuk menjadikan ia bahasa kebangsaan? Adakah bahasa Melayu benar benar menjadi bahasa kebangsaan sedangkan generasi muda masyarakat bukan Melayu kini tidak menganggap bahasa Melayu sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan sebagai seorang rakyat Malaysia. Walaupun pada masa sekarang, kestabilan dan kemakmuran antara kaum jelas kelihatan, namun, adakah ianya akan berkekalan pada masa akan datang jika tiada langkah-langkah segera diambil dalam menyepadukan masyarakat yang berbilang kaum dan agama ini.

Sebagai contoh, United Kingdom adalah negara yang majoritinya berbangsa English, namun terdapat ramai masyarakat yang berasal dari India, Pakistan dan China yang menetap dan menjadi warganegara United Kingdom. Jika dilihat dari dekat, kita dapat lihat bagaimana mesranya hubungan antara penduduk tempatan dengan golongan pendatang ini. Malah, anak-anak mereka berrmain antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit. Hubungan yang begitu intim ini menjamin perpaduan antara kaum dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di United Kingdom. Salah satu faktor yang membawa ke arah perpaduan ini ialah dengan menggunakan satu bahasa perantaraan yang sama antara satu sama lain. Sistem pendidikan mereka yang menggunakan satu bahasa sebagai bahasa rasmi juga menyemai sifat bersatu padu dikalangan pelajar-pelajar yang menjadi teras keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di United Kingdom.

Berbalik kepada situasi kita di Malaysia. Sejak dahulu lagi, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan kita dalam usaha mewujud dan mengekalkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Namun, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan, mahupun oleh setiap individu yang sayangkan keharmonian.

Antaranya,  saya mengesyorkan supaya sistem pendidikan negara kita dikaji semula. Ini kerana, pada masa sekarang, sekolah kerajaan terdiri daripada sekolah kebangsaan dan juga sekolah jenis kebangsaan. Pada pendapat saya, demi perpaduan, adalah wajar supaya semua sekolah ini disatukan dan hanya menjadi sekolah kebangsaan, iaitu tiada lagi sekolah jenis kebangsaan. Pelajar pelbagai kaum dan agama akan diterima masuk ke dalam sekolah kebangsaan ini. Hanya dengan ini sajalah semua pelajar tidak kira melayu, cina mahupun india, akan dapat bergaul secara lebih rapat lagi antara satu sama lain dan dapat memupuk persefahaman sejak di bangku sekolah lagi. Jika sistem yang ada sekarang dikekalkan, maka, dengan jelas dapat dilihat, pelajar melayu hanya mempunyai rakan melayu, cina hanya mempunyai rakan cina dan pelajar india hanya mempunyai pelajar india sebagai kawannya. Jika dari peringkat persekolahan lagi mereka telah diasingkan sebegini, bagaimana perpaduan antara kaum dapat dibentuk? Saya berpendapat, sekaranglah masanya yang sesuai untuk mengkaji semula sistem ini memandangkan seluruh rakyat telah sedar betapa pentingnya perpaduan antara kaum dalam mengejar cita-cita negara dan betapa pentingnya generasi muda ini diterapkan dengan nilai-nilai perpaduan ini.

Bagaimana pula perlaksanaan Sekolah Wawasan? Walaupun semua sekolah, kebangsaan, jenis cina dan india akan digabungkan, namun, setiapnya akan menjadikan bahasa masing-masing sebagai bahasa penghantar dan bukannya menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi. Apakah ini yang akan dapat menjamin perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia kelak?

Saya yakin, seluruh rakyat yang berbilang kaum akan setuju dengan cadangan menggunakan satu bahasa sebagai bahasa penghantar. Ini kerana pada masa sekarang inipun, telah jelas bahawa ramai pelajar berbangsa cina dan india, telah dihantar oleh ibu bapa mereka, untuk belajar di sekolah kebangsaan yang majoritinya pelajar melayu walaupun sekolah jenis kebangsaan juga terdapat berhampiran kawasan kediaman mereka. Tambahan pula, matapelajaran yang diajarkan di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan adalah sama, cuma bahasa penghantarnya sahaja yang berlainan.

Tambahan pula, pihak kementerian sedang mengkaji untuk memperkenalkan matapelajaran bahasa mandarin, arab dan mungkin juga bahasa tamil, sebagai mata pelajaran tambahan bagi mereka yang ingin mempelajarinya. Ini adalah satu langkah yang bijak dalam marapatkan hubungan antara kaum. Namun, jika pihak kerajaan masih mewujudkan sistem sekolah jenis kebangsaan, cita-cita untuk mengeratkan integrasi antara kaum mungkin tidak tercapai sepenuhnya.

Oleh itu, pihak kementerian hendaklah mengkaji sistem persekolahan yang ada sekarang supaya hanya satu jenis sekolah sahaja yang wujud. Dengan ini, pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama akan dapat mewujudkan suasana perpaduan yang akan menjamin kemakmuran masyarakat Malaysia pada masa akan datang. Kerajaan yang berwawasan seharusnya menjadi perintis dan contoh ikutan dalam usaha mewujudkan perpaduan antara kaum.

Sekian terima kasih,

Yang benar,

Penuntut Malaysia: October 2000

Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.