Let's ponder together


Perpaduan di Universiti-universiti Tempatan

Baru-baru ini, mahasiswa-mahasiswa USM telah memprotes tindakan pihak pengurusan universiti yang melaksanakan perkongsian bilik di antara pelajar pelbagai kaum. Dalam progam itu, pelajar yang menetap di dalam kampus universiti akan ditempatkan dengan pelajar daripada latar belakang kaum yang berbeza, misalnya, antara pelajar melayu dengan cina, melayu dengan india, dan antara cina dengan india.  Pada pandangan saya, langkah ini sebenarnya patut mendapat sokongan kerana dengan tindakan seumpama ini, akan dapat merapatkan jurang perbezaan antara kaum sekaligus mewujudkan perpaduan antara pelajar yang berbilang kaum.

Tetapi yang menyedihkan saya ialah, tindakan ini mendapat tentangan hebat daripada pelajar, dan disokong pula oleh beberapa perwakilan pelajar di universiti berkenaan. Walaupun begitu, masih ramai pelajar yang menyokong tindakan universiti dan berharap langkah ini akan diteruskan untuk masa-masa akan datang. Persoalannya di sini ialah mengapa terdapat segelintir pelajar yang menolak keras tindakan ini. Di sini pihak pelajar tidak boleh dipersalahkan kerana mereka semenjak kecil lagi tidak diberi pendedahan tentang betapa pentingnya keharmonian dan perpaduan dipupuk di kalangan masyarakat pelbagai kaum. Sebenarnya, mereka telah diajar tentang perpaduan dan pentingnya hubungan baik antara kaum diwujudkan tetapi mereka hanya memahaminya secara teori, dan tidak pula mengamalkannya. Cuba kita lihat, sejak kecil lagi pelajar-pelajar telah diasingkan mengikut kaum, dengan pelajar melayunya belajar di sekolah kebangsaan, pelajar cina dan india pula di sekolah jenis (cina/tamil) kebangsaan. Memang terdapat pelajar cina dan india yang belajar di sekolah kebangsaan, tetapi ianya hanyalah merangkumi sebilangan kecil sahaja.

Jika sejak kecil lagi pelajar-pelajar hanya bergaul dan berkawan dikalangan kaum masing-masing, melayu dengan melayu, cina dengan cina dan india dengan india, maka sudah tentulah mereka tidak bersetuju dengan tindakan untuk berkongsi bilik antara pelajar yang latarbelakang kaum dan agama yang berlainan. Mungkin ada antara mereka yang lansung tidak pernah mempunyai sahabat yang berbeza keturunan, jadi, adalah janggal untuk mereka apabila dipaksa berkongsi bilik dengan pelajar lain yang berbeza agama dan keturunan. Mereka sebenarnya takut jika tidak dapat menyesuaikan diri dengan teman sebilik itu.

Seharusnya masalah ini dijadikan tali ukuran yang menunjukkan bahawa sistem pendidikan yang ada sekarang sepatutnya dikaji semula agar sistem sekolah kebangsaan dan jenis (cina/tamil) kebangsaan di gabungkan dan diwujudkan satu sistem sekolah kebangsaan sahaja, yang pelajarnya terdiri daripada pelbagai latarbelakang kaum dan agama.

Apabila pelajar melayu, cina dan india belajar di sekolah rendah dan menengah yang sama, mereka akan mempunyai peluang yang lebih luas untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam dan dapat memahami serta menyesuaikan diri dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama ini. Dengan ini, dapatlah mereka mempraktikkan tentang apa yang dikatakan perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan mereka akan sedar bahawa hubungan erat antara kaum ini amat penting dalam menjamin kestabilan dan keamanan negara yang tercinta.

Jika sejak di bangku sekolah lagi, pelajar-pelajar telah didedahkan dan dibiasakan diri untuk hidup bersama pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan agama, sudah tentu tindakan USM ini tidak akan ditentang malah akan dijadikan contoh ikutan oleh institusi-institusi pengajian tinggi. 

Diharap pihak kementerian pendidikan memandang serius akan hal ini dan mengkaji akan pentingnya sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan disatukan demi menjamin perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Terima Kasih

Yang prihatin : May 2000


Disclaimer
 The information and links in this website does not represent the maintainer's attitudes, beliefs and views unless being stated otherwise.